
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin hari ini menjalankan pemeriksaan akhir terhadap kerja naik taraf balai raya Kampung Stampin yang terletak di belakang Pusat Perubatan (KPJ).
Projek di bawah Projek 2025 itu dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM50,000 serta kerjasama Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).
Kerja naik taraf tersebut memberi tumpuan kepada penambahbaikan fungsi dan keselamatan balairaya, termasuk kemudahan bersama bagi menyokong aktiviti komuniti, program dan kegunaan harian penduduk.
Katanya, penyiapan projek ini mencerminkan kepentingan memastikan kemudahan awam bukan sahaja dibina, tetapi disiapkan dengan baik, diperiksa dan sesuai digunakan masyarakat.
Beliau berkata pemeriksaan akhir itu bertujuan memastikan semua kerja dilaksanakan mengikut skop dan piawaian yang ditetapkan, serta benar benar memenuhi keperluan penduduk setempat.
Balairaya yang telah dinaik taraf kini menyediakan ruang yang lebih selesa, selamat dan praktikal untuk mesyuarat komuniti, perhimpunan sosial, sambutan perayaan serta aktiviti gotong-royong.
Kemudahan yang ditambah baik juga meningkatkan tahap kebersihan, aksesibiliti dan keselesaan khususnya untuk golongan wanita, warga emas dan sukarelawan yang kerap menggunakan balai raya bagi program kemasyarakatan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pegawai MBKS, pihak kontraktor dan pemimpin komuniti tempatan atas kerjasama yang diberikan sepanjang pelaksanaan projek.
Beliau menambah bahawa projek infrastruktur berskala kecil tetapi berfokus mampu memainkan peranan penting dalam memperkukuh perpaduan komuniti dan meningkatkan kualiti hidup di peringkat setempat.
Sebagai wakil rakyat, beliau berkata tanggungjawabnya bukan sekadar meluluskan projek, tetapi memastikan ia disiapkan dengan sempurna dan memberi manfaat sebenar kepada rakyat.
Oleh Connie Chieng