
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap berkata, peningkatan berterusan kes penipuan (scam) kewangan di seluruh negara kini menjadi satu krisis nasional yang memerlukan tindakan segera.
Menurut beliau, hampir setiap hari terdapat laporan mengenai rakyat Malaysia, termasuk ramai rakyat Sarawak, menjadi mangsa sindiket penipuan yang semakin terancang dan menggunakan taktik yang lebih canggih sehingga menyebabkan mereka kehilangan simpanan seumur hidup.
“Jenayah ini bukan sekadar angka statistik. Di sebalik setiap kes penipuan, terdapat pesara yang kehilangan simpanan sepanjang hayat, keluarga yang bergelut untuk bangkit semula dari segi kewangan, atau pemilik perniagaan kecil yang impian mereka musnah.
“Penipu mengeksploitasi kemajuan teknologi lebih pantas daripada keupayaan undang-undang kita untuk menyesuaikan diri. Jurang ini perlu ditangani,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai peningkatan kes penipuan kewangan yang terus membimbangkan.
Yap berkata, beliau mengiktiraf usaha yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), institusi kewangan serta Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dalam menangani jenayah penipuan.
Katanya, inisiatif seperti penubuhan NSRC dan pelaksanaan mekanisme ‘kill switch’ oleh institusi perbankan merupakan langkah positif ke arah yang betul.
“Bagaimanapun, peningkatan berterusan kes penipuan membuktikan bahawa sindiket jenayah sentiasa berevolusi, justeru kerangka perundangan dan penguatkuasaan negara juga perlu diperkasakan dengan lebih pantas,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Persekutuan melaksanakan semakan menyeluruh terhadap kerangka pencegahan penipuan negara dengan memberi tumpuan kepada beberapa pembaharuan utama.
Antaranya ialah memperkukuh peruntukan undang-undang bagi membanteras penipuan siber, sindiket penipuan terancang serta penyalahgunaan akaun keldai.
Selain itu, katanya, institusi kewangan perlu dipertanggungjawabkan dengan mewajibkan sistem pengesanan penipuan yang lebih berkesan, prosedur campur tangan kecemasan yang lebih pantas serta langkah perlindungan pelanggan yang lebih kukuh.
Beliau turut mencadangkan hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu yang dengan sengaja menyediakan akaun bank, kad SIM atau platform digital bagi memudahkan kegiatan penipuan.
Dalam pada itu, Yap turut menggesa pelaksanaan program pendidikan awam dan literasi digital secara menyeluruh di seluruh negara, khususnya melibatkan warga emas, golongan muda dan kumpulan rentan.
“Pencegahan kekal sebagai benteng pertahanan paling berkesan dalam membendung jenayah penipuan,” katanya.
Beliau berkata, jenayah penipuan tidak mengenal sempadan negeri kerana kebanyakannya didalangi rangkaian jenayah terancang yang beroperasi merentasi bidang kuasa dan juga sempadan negara.
“Justeru, undang-undang Persekutuan yang kukuh, disokong oleh penguatkuasaan berkesan serta kerjasama erat semua pihak berkepentingan, amat penting dalam usaha memerangi jenayah ini,” katanya.
Yap berkata, negara tidak boleh terus membiarkan sindiket jenayah sentiasa selangkah di hadapan undang-undang.
“Sudah tiba masanya kita memperkukuh kerangka perundangan, meningkatkan penguatkuasaan dan menghantar mesej yang jelas bahawa Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengambil kesempatan terhadap hasil titik peluh dan simpanan rakyat,” katanya.
Oleh Connie Chieng



