
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap, menggesa orang ramai agar lebih berhati-hati terhadap taktik politik agresif Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang menurutnya terus mempolitikkan pelbagai inisiatif pembangunan utama berbanding mengemukakan cadangan yang membina demi kemajuan jangka panjang Sarawak.
Beliau berkata antara contoh paling jelas ialah serangan berulang dan naratif mengelirukan berkaitan sistem Sistem Aliran Transit Automasi (ART) serta cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa baharu di Tanjung Embang.
“Projek ART dan cadangan lapangan terbang antarabangsa baharu ini merupakan pelaburan infrastruktur strategik jangka panjang yang bertujuan mengubah masa depan ekonomi, kesalinghubungan dan daya saing Sarawak.

Yap berkata, sistem ART bukan sekadar perkhidmatan bas biasa seperti yang sering digambarkan oleh sesetengah pemimpin pembangkang, sebaliknya sebuah sistem transit moden berkapasiti sederhana yang direka dengan laluan khas dan sebahagiannya bertingkat bagi meningkatkan mobiliti, mengurangkan kesesakan serta menyokong pertumbuhan bandar pada masa depan.
Beliau berkata, projek itu kini sedang dilaksanakan secara berperingkat dengan operasi dijangka bermula pada penghujung 2026 di bawah Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).
Yap turut berkata, pemerhati antarabangsa dan tempatan telah mengiktiraf kepentingan strategik sistem ART berkuasa hidrogen sebagai sebahagian daripada aspirasi tenaga hijau dan pengangkutan mampan Sarawak.
Mengenai cadangan lapangan terbang antarabangsa baharu di Tanjung Embang, beliau berkata projek itu mencerminkan visi ekonomi jangka panjang kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk menjadikan bandar raya Kuching dan Kota Samarahan sebagai hab penerbangan serta logistik serantau yang diintegrasikan dengan infrastruktur pengangkutan moden.
“Cadangan lapangan terbang ini bukan projek yang berdiri sendiri. Ia dirancang bersama jaringan ART, jalan raya dan infrastruktur sokongan yang akan merangsang pertumbuhan ekonomi, pelancongan, pelaburan dan peluang pekerjaan untuk rakyat Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, agenda transformasi Sarawak di bawah kerajaan GPS memerlukan kestabilan, kesinambungan dan perancangan jangka panjang khususnya dalam bidang pengangkutan awam, ekonomi digital, tenaga hijau, kesalinghubungan logistik, infrastruktur penerbangan dan peluasan bandar.
“Ini bukan projek untuk tajuk berita hari ini semata-mata. Ini adalah pelaburan untuk generasi akan datang rakyat Sarawak,” katanya.
Yap turut mengingatkan bahawa banyak bandar moden yang berjaya di seluruh dunia dibangunkan kerana pemimpin terdahulu berani melabur dalam infrastruktur masa depan walaupun menerima kritikan pada peringkat awal.
“Jika generasi terdahulu takut kepada perubahan dan menolak setiap cadangan pembangunan infrastruktur utama, banyak bandar moden di dunia hari ini tidak akan mencapai kemajuan,” katanya.
Beliau turut menggesa rakyat Sarawak supaya menolak naratif politik bersifat memecah belahkan dan berasaskan ketakutan yang bertujuan melemahkan keyakinan terhadap hala tuju pembangunan masa depan Sarawak.
“Sarawak memerlukan politik matang berasaskan tanggungjawab, visi dan penyampaian, bukannya politik berterusan yang hanya mencetuskan kemarahan, kekeliruan dan sensasi media sosial,” katanya.
Oleh Connie Chieng