
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap menggesa Kerajaan Persekutuan supaya segera melakukan pembaharuan undang-undang bagi menangani peningkatan kes penipuan yang semakin kerap dilaporkan dalam media.
Beliau berkata laporan harian mengenai pesara yang kehilangan simpanan hidup, keluarga terjerumus ke dalam hutang serta peniaga kecil yang musnah sumber pendapatan menunjukkan penipuan bukan lagi kes terpencil, sebaliknya satu krisis nasional yang semakin serius.
“Sebagai wakil rakyat, saya amat bimbang dengan kekerapan dan skala kes penipuan yang dilaporkan. Walaupun pelbagai amaran dan tindakan penguatkuasaan telah diambil, kerugian terus meningkat, membuktikan rangka undang undang sedia ada tidak lagi seiring dengan modus operandi sindiket penipuan moden,” katanya.
Yap berkata kebanyakan penipu didakwa di bawah Seksyen 417 dan 420 Kanun Keseksaan yang direka untuk menangani penipuan tradisional dan semakin tidak memadai bagi kes penipuan canggih berasaskan teknologi serta merentas sempadan.
Beliau menambah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, khususnya Seksyen 233, digunakan untuk menangani mesej penipuan melalui WhatsApp, SMS dan media sosial, namun penalti yang dikenakan tidak setimpal dengan kerugian yang dialami mangsa.
“Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 pula penting untuk mengesan serta menyita hasil penipuan, tetapi pendekatannya bersifat reaktif. Dalam banyak kes, tindakan hanya diambil selepas wang dipindahkan atau dibawa ke luar negara,” katanya.
Menurut beliau, keadaan ini menyebabkan ramai mangsa dimaklumkan bahawa peluang mendapatkan semula wang adalah tipis walaupun laporan dibuat dengan segera.
Yap berkata Singapura telah mengambil pendekatan berbeza melalui Akta Perlindungan Daripada Penipuan yang memberi penekanan kepada pencegahan serta tindakan tegas terhadap pemilik akaun keldai, termasuk penalti berat, pelucuthakan aset dan perintah pampasan.
“Di Malaysia, akaun keldai masih menjadi kelemahan utama. Hukuman tidak konsisten, kesan pencegahan lemah dan sindiket terus mengambil kesempatan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa penipuan bukan jenayah kecil kerana ia boleh menjejaskan sumber pendapatan mangsa, melemahkan keyakinan terhadap ekonomi digital serta menghakis kepercayaan orang ramai.
“Tajuk berita harian seharusnya menjadi peringatan serius. Malaysia perlu meninggalkan pendekatan undang-undang yang lapuk dan berpecah belah,” katanya sambil menggesa kerajaan memperkenalkan undang-undang khusus anti penipuan, memberi kuasa awal kepada agensi penguatkuasaan untuk menghentikan transaksi mencurigakan, mengenakan hukuman lebih berat terhadap pemilik akaun keldai serta memperkukuh kerjasama masa nyata antara bank, syarikat telekomunikasi dan pihak berkuasa.
“Melindungi rakyat Malaysia daripada penipuan bukan satu pilihan. Ia adalah satu tanggungjawab dan masanya untuk bertindak adalah sekarang,” katanya.
Oleh Connie Chieng