Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Wilfred Yap gesa GPS kekal konsisten dan bersatu menjelang PRN Sarawak
  • TEMPATAN

Wilfred Yap gesa GPS kekal konsisten dan bersatu menjelang PRN Sarawak

Utusan Sarawak 3 hours ago
WILFRED Yap Yau Sin berkata konsistensi dalam prinsip dan tindakan merupakan asas kepada kepercayaan serta keyakinan rakyat terhadap GPS.

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin, menegaskan bahawa konsistensi politik, tanggungjawab bersama dan disiplin institusi merupakan elemen penting dalam mengekalkan perpaduan serta kredibiliti Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Mengulas laporan mengenai gesaan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Dato Sri Tiong King Sing, supaya memberi sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri Johor akan datang, Yap berkata tindakan sedemikian berisiko menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penyokong akar umbi dan pengundi.

Beliau berkata situasi yang sama pernah berlaku semasa Pilihan Raya Negeri Sabah apabila sokongan turut diberikan secara terbuka kepada PH.

“Sebagai wakil Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan pemain pasukan yang komited dalam GPS, saya percaya kepimpinan politik yang sebenar memerlukan konsistensi dalam prinsip dan tindakan.

“Kita tidak boleh memperjuangkan agenda ‘Sarawak First’ di negeri ini sambil pada masa yang sama memperkukuh jentera politik Pakatan Harapan di tempat lain.

“Prinsip tidak seharusnya berubah mengikut lokasi atau kepentingan politik. Konsistensi adalah asas kepada kepercayaan dan keyakinan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Yap, dengan PRN Sarawak yang semakin hampir, semua pemimpin GPS perlu terus memberi tumpuan kepada penyampaian mesej yang jelas, bersatu dan konsisten kepada rakyat.

“Akar umbi mengharapkan kejelasan dan keyakinan daripada pemimpin mereka. Sukar untuk memahami seruan menyokong Pakatan Harapan di Johor atau Sabah sedangkan parti komponen dalam gabungan yang sama terus mencabar GPS dan SUPP di Sarawak.

“Isyarat yang bercampur aduk seperti ini hanya akan menimbulkan ketidakpastian dalam kalangan pengundi,” katanya.

Beliau berkata kekuatan GPS selama ini terletak pada amalan kepimpinan berasaskan konsensus, saling menghormati antara parti komponen serta komitmen bersama dalam mempertahankan kepentingan Sarawak.

“Kematangan politik menuntut kita menghormati keputusan bersama dan mengekalkan solidariti dalam gabungan. GPS berjaya kerana kita sentiasa meletakkan kepentingan Sarawak mengatasi pertimbangan politik individu.

“Perpaduan itu mesti terus menjadi kekuatan utama kita,” katanya.

Yap turut menegaskan komitmennya terhadap perjuangan GPS di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata SUPP akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan, memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam serta mempertahankan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Misi kami tetap jelas. SUPP Kota Sentosa berada dalam keadaan kukuh, stabil dan berakar umbi dalam komuniti.

“Kami menghormati semangat kolektif serta batas institusi rakan komponen GPS, dan tumpuan kami kekal kepada berkhidmat untuk rakyat, memajukan pembangunan serta memastikan GPS memperoleh mandat yang kukuh dan bersatu dalam pilihan raya negeri akan datang,” katanya.

Oleh Connie Chieng

Continue Reading

Previous: Uggah ketuai kunjungan hormat jemput Premier hadiri sambutan Gawai Dayak 2026
Next: Persiapan Konvensyen PBB Zon Betong 2026 diperkemas melalui mesyuarat koordinasi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.