

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa Wilfred Yap menggesa polis mengambil tindakan pantas dan tegas susulan kejadian vandalisme dan kecurian di Taman Rekreasi Lorong 2, Skim Penempatan Semula Stampin, yang baharu sahaja dinaik taraf menggunakan dana awam.
Wilfred Yap berkata perbuatan tersebut adalah tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima kerana ia menafikan kemudahan yang disediakan untuk keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan penduduk.
“Perbuatan vandalisme dan kecurian ini mensabotaj pembangunan komuniti, membazirkan wang rakyat dan merampas kemudahan yang dibina untuk kepentingan penduduk,” katanya selepas melakukan pemeriksaan di lokasi bersama pegawai Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).
Menurut beliau, pemeriksaan mendapati beberapa unit lampu solar serta peralatan senaman yang baharu dipasang telah rosak atau dicuri, sekali gus menjejaskan penggunaan taman tersebut oleh keluarga, warga emas dan golongan belia.
Yap berkata taman berkenaan dinaik taraf di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dengan kos RM100, 000 dan siap pada 21 November 2025.
Projek itu merangkumi gelanggang pickleball, platform penonton, lampu berkuasa solar dan peralatan senaman luar.
Beliau menggesa pihak polis menjalankan siasatan menyeluruh dan menahan pelaku tanpa berlengah, sambil menegaskan penguatkuasaan tegas perlu bagi mencegah kejadian berulang.
“Kemudahan yang dibina menggunakan wang rakyat mesti dihormati, bukan dimusnahkan. Rakyat berhak mendapat yang lebih baik,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kontraktor projek dan MBKS telah membuat laporan polis dan siasatan sedang dijalankan.
Oleh Connie Chieng