
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap, menyampaikan sebuah kerusi roda dan bekalan lampin pakai buang dewasa kepada seorang wanita berusia 82 tahun yang menghidap strok di Kampung Stampin.
Bantuan itu bertujuan meningkatkan pergerakan warga emas berkenaan selain meringankan beban keluarganya.
Lawatan tersebut diadakan selepas Tuai Rumah Kalina Janggui memaklumkan kepada Yap mengenai keadaan wanita itu serta memohon bantuan bagi memenuhi keperluan hariannya.
Pada lawatan tersebut, Yap menyerahkan kerusi roda dan bekalan lampin pakai buang dewasa bagi memudahkan penjagaan pesakit di rumah.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kalina atas keprihatinan dan tindakan segera memaklumkan perkara itu sehingga bantuan dapat disalurkan tanpa berlengah.
“Komuniti kita menjadi lebih kukuh apabila kita saling mengambil berat antara satu sama lain. Saya menghargai usaha Tuai Rumah Kalina Janggui yang mengetengahkan keperluan warga emas ini supaya bantuan dapat disalurkan dengan segera.
“Kita mesti terus menjaga warga emas dan mereka yang berdepan masalah kesihatan dengan penuh belas ihsan dan empati,” katanya.
Yap berkata, walaupun bantuan yang diberikan kelihatan sederhana, kerusi roda itu mampu meningkatkan kualiti hidup pesakit strok dengan memberi lebih kebebasan untuk bergerak, manakala bekalan lampin pakai buang dewasa dapat membantu mengurangkan beban kewangan keluarga.
Beliau turut menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama rapat dengan pemimpin masyarakat bagi memastikan bantuan disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan tanpa mengira kaum atau agama.
Oleh Connie Chieng