
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap, telah menyampaikan geran Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM30,000 kepada Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Stampin bagi menyokong dana pembinaan serta pembangunan infrastruktur sekolah tersebut.
Penyerahan geran tersebut dilakukan semasa lawatan beliau ke sekolah berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan bagi menambah baik persekitaran pembelajaran serta memastikan sekolah di kawasan Kota Sentosa menerima bantuan yang praktikal dan tepat pada masanya.
Menurut Wilfred Yap, pendidikan merupakan pelaburan jangka panjang yang memerlukan sokongan berterusan, terutamanya sekolah vernakular yang banyak bergantung kepada sumbangan komuniti serta bantuan kerajaan Sarawak bagi melaksanakan projek pembangunan.
“Sekolah seperti SJK Chung Hua Stampin memainkan peranan penting dalam membentuk generasi masa depan. Sumbangan ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan kami untuk menyokong pembangunan sekolah dan menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih baik untuk pelajar dan guru,” katanya.
Beliau turut menegaskan akan terus bekerjasama rapat dengan lembaga sekolah, persatuan ibu bapa dan guru serta komuniti setempat bagi mengenal pasti keperluan keutamaan dan menyalurkan sumber yang ada secara berkesan.
Penyerahan ini mencerminkan penglibatan berterusan beliau dengan SJK Chung Hua Stampin, susulan peruntukan terdahulu di bawah Projek Kecil Luar Bandar dan Program Transformasi Luar Bandar
bagi menambah baik infrastruktur dan kemudahan sekolah.
Oleh Connie Chieng