
NEW YORK: Kerajaan wilayah Saskatchewan di Kanada mengisytiharkan darurat pada Khamis, menjadikannya wilayah kedua berbuat demikian ketika kebakaran hutan terus marak di kawasan utara wilayah itu dan memaksa ribuan penduduk berpindah, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
“Hari ini, kami mengisytiharkan darurat di seluruh wilayah berikutan ancaman kebakaran hutan terhadap komuniti kami yang telah pun memaksa ribuan penduduk meninggalkan kediaman mereka,” kata Ketua Menteri Saskatchewan, Scott Moe menerusi platform media sosial X.
Beliau menambah bahawa pengisytiharan itu membolehkan pihak berkuasa menggerakkan “sumber yang diperlukan untuk memindahkan penduduk Saskatchewan dengan selamat dan melindungi komuniti yang terjejas.”
Langkah itu termasuk meminta bantuan tambahan dari Ottawa seperti anggota, peralatan dan penggunaan tentera, menurut penyiar nasional Kanada, CBC.
Menurut Agensi Keselamatan Awam Saskatchewan (SPSA), setakat malam Khamis waktu tempatan, terdapat 16 kebakaran hutan aktif di wilayah itu, dengan tiga daripadanya telah dapat dikawal.
Wilayah Manitoba yang terletak di sebelah timur Saskatchewan telah mengisytiharkan darurat pada Rabu selepas kebakaran hutan memaksa kira-kira 17,000 penduduk berpindah dari kediaman mereka.– Bernama-dpa