GENEVA: Jawatankuasa Kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai COVID-19 hari ini mengadakan mesyuarat bagi membincangkan sama ada wabak itu masih layak mendapat tahap amaran global tertinggi.
Sebelum pertemuan itu, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus mencadangkan fasa kecemasan wabak itu belum berakhir, menunjukkan lebih 170,000 kematian akibat virus berkenaan dalam tempoh dua bulan lalu.
“Walaupun saya tidak akan mendahului nasihat jawatankuasa kecemasan, saya tetap sangat prihatin dengan keadaan di banyak negara dan peningkatan jumlah kematian,” katanya pada sidang media Selasa lalu.
Mesyuarat ke-14 panel mengenai krisis itu datang hampir tiga tahun sejak ia pertama kali ‘membunyikan penggera’ kecemasan tertinggi WHO susulan penularan wabak COVID-19 yang mula menular di luar China.
Jawatankuasa bebas bermesyuarat setiap tiga bulan untuk membincangkan wabak itu dan melaporkannya kepada Tedros.
“Walaupun kami jelas berada dalam keadaan yang lebih baik berbanding tiga tahun lalu ketika wabak ini mula melanda, tindak balas kolektif global sekali lagi berada di bawah tekanan,” kata Tedros.
Beliau berkata, terlalu sedikit individu yang diberi vaksin secukupnya, manakala bagi kebanyakan individu yang menghidap COCVID-19, antivirus tidak dapat dicapai.
Sehingga kini, sistem kesihatan masih bergelut untuk menangani beban COVID-19.
Dari segi pemantauan bagaimana virus itu berkembang, pengawasan dan penjujukan genetik sudah menurun dengan mendadak menjadikannya lebih sukar untuk menjejaki pelbagai variasi dan mengesan yang baharu.
Tedros berkata, virus itu ‘akan terus membunuh’, melainkan semua pihak melakukan lebih banyak lagi untuk memberikan perlindungan kesihatan kepada orang yang memerlukannya.
Mesyuarat jawatankuasa kecemasan yang dipengerusikan oleh doktor Perancis, Didier Houssin itu dijadualkan berlangsung sehari dengan keputusan dikeluarkan pada hari berikutnya.
Kali terakhir jawatankuasa berkenaan bermesyuarat pada Oktober lalu dengan menyimpulkan bahawa wabak itu masih di tahap kecemasan kesihatan awam kebimbangan antarabangsa (PHEIC) -tahap kewaspadaan tertinggi WHO. – AFP