
SIBU: Pasukan Wheeltrak Tyre (M) muncul juara acara Bola Tampar Lelaki Liga Sukan Komuniti (LSK) 2026 Peringkat Bahagian Sibu selepas menewaskan SMK Tung Hua A dengan keputusan 2-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Tertutup Bola Tampar Sibu.
Perlawanan akhir yang berlangsung dalam suasana penuh kompetitif dan semangat kesukanan itu menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi berkualiti tinggi bagi merebut gelaran juara.
Bagaimanapun, Wheeltrak Tyre (M) berjaya bangkit dan menampilkan permainan lebih konsisten untuk mengesahkan kejuaraan selepas mengatasi tentangan sengit daripada SMK Tung Hua A.
Penganjuran Liga Sukan Komuniti 2026 merupakan inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam menggalakkan penglibatan masyarakat, khususnya golongan belia, dalam aktiviti sukan dan rekreasi.
Melalui program seumpama itu, KBS berharap lebih ramai masyarakat akan terlibat secara aktif dalam aktiviti sukan sekali gus menyumbang kepada pembentukan komuniti yang sihat, bersatu padu dan sejahtera selaras dengan agenda pembangunan Malaysia MADANI.
Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sibu, Nur Fatheen Khairuzan Seleman.
Pada majlis tersebut, mereka turut merakamkan penghargaan kepada semua pasukan yang mengambil bahagian serta pihak-pihak yang terlibat dalam menjayakan pertandingan Liga Sukan Komuniti 2026.
Bagi keputusan akhir pertandingan, Wheeltrak Tyre (M) muncul juara, diikuti SMK Tung Hua A sebagai naib juara, manakala Volleyball Sungai Merah dan 9 Briged berkongsi tempat ketiga.
Oleh Akun Giman