KUCHING: Sarawak akan mewujudkan WhatsApp hotline tidak lama lagi untuk orang ramai memberi maklumat mengenai pihak yang melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) mencegah Covid-19.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato’ Sri Dr. Sim Kui Hian (gambar) berkata, tidak lama lagi akan terdapat talian hotline untuk mendapatkan maklumat umum yang menjadi mata dan telinga untuk membantu penguatkuasaa bertindak lebih pantas.
Beliau berkata, tanpa kerjasama, persefahaman dan perpaduan masyarakat, tidak ada undang-undang atau penguatkuasaan yang dapat mencegah Covid-19.
Sementara itu, Dr. Sim menegaskan, tiada lagi amaran dan denda kompaun akan diberi iaitu 46 kes dengan 34 di pusat hiburan di sekitar Kuching semalam (Isnin).
“Ingin melihat perniagaan atur sendiri pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kerana langkah seterusnya akan menyebabkan penutupan premis perniagaan,” katanya dalam catatan di media sosial facebook milik beliau.
Katanya lagi, kumpulan minoriti yang melanggar SOP tidak sepatutnya menyebabkan orang ramai berhadapan dengan
gelombang kedua Covid-19.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada 696 anggota pasukan penguatkuasaan pelbagai agensi yang telah memantau lebih daripada 1,895 premis semalam sahaja (Isnin).
Selain itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan keselamatan iaitu Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk Op Benteng kerana menjaga sempadan negara ini yang mana peranan penting dalam mencegah Covid-19.