
SARATOK: Pasukan WFC A Saratok muncul juara Pertandingan Badminton dalam kategori Lelaki Berpasukan Tertutup Sri Aman dan Betong sempena penganjuran Pesta Saratok 2025 di Dewan Masyarakat Sri Krian, semalam.
Dalam perlawanan akhir, WFC A berjaya menewaskan pasukan Permata Biru sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,500. Pasukan Permata Biru pula berpuas hati di tempat kedua dengan hadiah wang tunai RM800.
Tempat ketiga bersama menjadi milik pasukan Permata Biru B Saratok dan XYC Trading dari Sri Aman, masing-masing menerima hadiah wang tunai RM400.
Sementara itu, dalam kategori beregu wanita, gandingan Noorsatinaz dan Christina muncul juara dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM500.
Tempat kedua dimenangi pasangan Adeline dan Wong Hui Ching yang menerima RM300, manakala tempat ketiga bersama pula dimenangi oleh gandingan Jenica dan Mastijah serta gandingan Chiew Phang Lang dan Yvonne Wong Yee yang masing-masing menerima RM100.
Kesemua hadiah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri.
Sebanyak 12 pasukan lelaki dan 15 pasukan wanita menyertai pertandingan tersebut, melibatkan penyertaan pasukan tempatan serta pasukan dari luar Daerah Saratok termasuk Betong dan Sri Aman.
Pertandingan ini merupakan antara 21 program pengisian yang dianjurkan sempena Pesta Saratok 2025 oleh Pusat Khidmat ADUN N.38 Kalaka.
Turut hadir, Pengerusi Kelab Badminton WFC Saratok Wong Hui Ching, Ketua Balai Bomba Saratok Putra Ila, Pemanca Lim Guan Ann dan tetamu jemputan lain.
Oleh Adi Safarman