
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun menempah slot final selepas mengecewakan bekas juara dunia Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun, pada perlawanan separuh akhir Masters Malaysia 2025 hari ini.
Pada saingan berlangsung di Axiata Arena 2025 Bukit Jalil, Wei Chong-Kai Wun yang diletakkan selaku pilihan kelima menampilkan aksi mengagumkan dengan serangan pantas untuk menguasai set pertama 21-12.
Pada set kedua, pasangan negara bermula sedikit goyah apabila ketinggalan 0-2, namun kembali menemui rentak untuk melengkapkan kemenangan 21-14 dalam tempoh 31 minit perlawanan.
Lebih manis, ini merupakan kemenangan pertama mereka ke atas juara dunia 2021 itu selepas tewas dua pertemuan sebelum ini.
Pasangan kelapan dunia itu berpeluang merebut gelaran juara Masters Malaysia selepas muncul naib juara pada edisi 2023, tewas kepada pasangan Korea Selatan Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae 15-21, 24-22, 19-21.
Kai Wun ketika ditemui di sini berkata corak permainan lebih agresif yang ditampilkan kali ini menyumbang kepada kejayaan mereka untuk menyingkirkan wakil Jepun itu.
Beliau berkata kemenangan hari ini dan kejayaan mengetepikan gandingan kedua dunia yang juga beregu profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani pada perlawanan suku akhir semalam, menyuntik semangat mereka untuk meneruskan momentum cemerlang hingga perlawanan akhir.
Wei Chong pula berharap mereka dapat kekal fokus dan meneruskan momentum cemerlang hingga perlawanan akhir esok.
“Kalau kami jadi juara, lagi bagus namun yang penting kena fokus pada permainan kami,” katanya.
Pasangan negara dijangka berdepan pemenang dalam satu lagi aksi separuh akhir membabitkan pilihan keempat yang juga rakan senegara Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang akan berdepan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark.
Kali terakhir beregu lelaki negara muncul juara pada Masters Malaysia 2013 menerusi Goh V Shem-Lim Khim Wah.
–Bernama