Wee: MBKS terus bekerja, bina Kuching yang lebih dikenali dunia

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Pesta Ria sempena Festival Kuching 2026 bukan sekadar acara hiburan atau pesta makanan tahunan, malah berkembang menjadi platform memperkukuh identiti bandar raya Kuching menerusi komuniti, budaya, ekonomi dan promosi Sarawak ke peringkat lebih luas.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, sejak bermula secara sederhana di Reservoir Park kira-kira 40 tahun lalu, Festival Kuching kini berkembang menjadi antara festival komuniti terbesar di Malaysia dengan lebih 425 gerai makanan, hampir 100 gerai perdagangan serta pelbagai tarikan keluarga.

Menurutnya, kejayaan festival itu bukan hanya diukur melalui jumlah pengunjung, sebaliknya melalui peranannya menyatukan masyarakat apabila keluarga berkumpul, rakan bertemu semula dan perniagaan tempatan berkembang.

“Setiap tahun keluarga berkumpul di sini, rakan-rakan bertemu semula dan pengunjung dari seluruh Sarawak, Semenanjung Malaysia, Brunei, Kalimantan serta Singapura menjadikan festival ini sebahagian daripada kalendar mereka.

“Itulah sesuatu yang setiap warga Kuching patut banggakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Ria sempena Festival Kuching 2026 di Kuching, malam ini.

Wee berkata, pengiktirafan Kuching sebagai Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO turut memperkukuh kedudukan festival itu sebagai platform mengetengahkan makanan, budaya, keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan identiti unik Sarawak.

Katanya, edisi kali ini turut mencipta sejarah apabila jenama Pepsi menampilkan Festival Kuching 2026 pada reka bentuk tin mereka, selain hampir 30 program melibatkan sukan, kebudayaan, muzik, belia, pendidikan STEM dan aktiviti komuniti dianjurkan sepanjang festival.

Beliau berkata, Pesta Ria juga menjadi medan memperkukuh hubungan antarabangsa menerusi penyertaan pasukan kebudayaan dari bandar persahabatan seperti Zhengzhou, Quanzhou dan Zhenjiang dari China, Asuke di Jepun serta Guro dari Korea Selatan.

Dalam pada itu, Wee berkata, pembangunan sesebuah bandar tidak akan tercapai jika hanya tertumpu kepada usaha mencari kelemahan dan mengkritik setiap inisiatif yang dilaksanakan.

Beliau berkata, kemajuan memerlukan kerjasama, perbincangan berasaskan fakta serta keupayaan menghasilkan keputusan yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Setiap inisiatif dikritik dan setiap pencapaian dipersoalkan, namun kritikan perlu dinilai berdasarkan fakta,” katanya.

Menurutnya, MBKS terus memberi tumpuan kepada penambahbaikan apabila berjaya memperoleh penarafan lima bintang daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), selain menerima pengiktirafan antarabangsa menerusi pembentangan kertas teknikal di Persidangan Global Alliance for Healthy Cities di Australia.

“Jawapan kami sentiasa diterjemahkan melalui kerja, integriti dan hasil yang dapat dilihat oleh rakyat,” katanya.

Oleh Afiq Sallehi