
KUCHING: Datuk Bandar Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng menggesa penduduk agar mengambil langkah keselamatan sewajarnya sebelum meninggalkan kediaman masing-masing sempena cuti Tahun Baharu Cina.
Beliau menegaskan, antara langkah penting yang perlu diberi perhatian ialah menutup semua peralatan elektrik yang tidak digunakan, mengelakkan penggunaan soket elektrik secara berlebihan khususnya bagi lampu hiasan perayaan serta memastikan kediaman dikunci dan berada dalam keadaan selamat bagi mengelakkan kejadian pecah masuk.
Menurut beliau, hiasan perayaan yang menceriakan suasana sambutan boleh menjadi punca bahaya sekiranya tidak digunakan secara bertanggungjawab.
Soket yang terlebih beban, pendawaian yang rosak serta penggunaan peralatan elektrik dalam tempoh lama berisiko menyebabkan pemanasan melampau dan seterusnya meningkatkan kemungkinan berlakunya kebakaran rumah.

“Pada masa sama, rumah yang ditinggalkan tanpa pengawasan mudah menjadi sasaran penjenayah sekiranya langkah keselamatan asas diabaikan,” katanya.
Tambah beliau, memandangkan ramai keluarga akan pulang ke kampung atau bercuti sepanjang musim perayaan ini, setiap kediaman perlu dipastikan berada dalam keadaan selamat sebelum ditinggalkan.
Beliau menasihati penduduk supaya mematikan peralatan elektrik yang tidak diperlukan, memeriksa kunci pintu dan tingkap, mengaktifkan sistem penggera sekiranya ada serta memastikan lampu hiasan dipasang dengan betul dan selamat.
Selain itu, beliau turut menggalakkan mereka yang bercadang meninggalkan rumah untuk memaklumkan kepada jiran atau saudara terdekat yang dipercayai supaya dapat membantu memantau keadaan kediaman masing-masing.
“Langkah pencegahan yang mudah ini mampu membantu mengesan sebarang situasi luar biasa lebih awal dan membolehkan tindakan segera diambil sekiranya perlu,” ujarnya.
Beliau mengingatkan orang ramai agar keselamatan sentiasa menjadi keutamaan sepanjang musim perayaan.
Dengan mengambil langkah pencegahan sewajarnya, sambutan Tahun Baharu Cina dapat diraikan dengan lebih tenang dan penuh kegembiraan tanpa sebarang kebimbangan.
Oleh Shikin Mahmud