
MARUDI: Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Dr Penguang Manggil, mengadakan lawatan kerja ke tapak projek menaik taraf kawasan pentas utama Tebingan Marudi (Waterfront), yang merupakan sebahagian daripada Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).
Menurutnya, komitmen tinggi daripada semua pihak terlibat amat penting bagi memastikan projek tersebut dapat disiapkan sepenuhnya sebelum acara berprestij Baram Regatta 2025 yang dijadual berlangsung pada 18 hingga 21 September 2025.
“Projek ini bukan sahaja meningkatkan kemudahan awam, malah memberi nilai tambah kepada kawasan Marudi yang menjadi tumpuan pelancong dan komuniti tempatan sempena Regatta nanti,” katanya semasa lawatan tersebut.
Selain perlumbaan perahu tradisional yang menjadi acara utama Baram Regatta, Pertandingan Ratu Baram Regatta 2025 turut mencuri tumpuan dengan tawaran hadiah menarik kepada para peserta.
Juara pertandingan bakal membawa pulang RM5,000 tunai, tiara, piala, selempang, sejambak bunga, sijil penyertaan dan replika cek. Naib johan akan menerima RM4,000, diikuti tempat ketiga dengan RM3,000, berserta trofi, selempang, sijil, bunga dan replika cek masing-masing.
Setiap peserta juga akan menerima saguhati RM1,000 dan sijil penyertaan sebagai penghargaan penyertaan.
Bagi kategori khas, Catwalk Terbaik akan menerima RM300, selempang, sijil dan replika cek, manakala Pakaian Terbaik pula akan membawa pulang RM1,000, selempang, sijil dan replika cek.
Oleh Jiku Juguong