oleh Mohd Ali bin Salim (Munsyi Sastera)
TAHNIAH kepada penulis cerpen Mona kerana berjaya menyiapkan sebuah cerita tentang satu watak. Watak yang dipilih menampilkan isu dalam masyarakat lantas mengangkat kepentingan cerpen ini dengan mesej yang dibawa.
Cerpen ini mengisahkan tentang watak Mona yang mahu hadir ke majlis hari jadi Natasha. Demi majlis itu, dia telah membeli gaun merah berharga RM150. Ketika sampai di rumah, ibunya meminta Mona menambah duit untuk membeli ubat. Namun Mona tidak dapat menolong ibunya kerana wang simpanannya telah digunakan untuk membeli gaun merah. Mona hadir ke majlis hari jadi Natasha dan dia sungguh gembira. Mona balik lewat pada jam 1.30 pagi dan mendapati ibunya masih bangun kerana risau akan Mona. Mona menyesal dan amat sayang akan ibunya. Mona ingin mencari kerja selepas balik dari sekolah. Walau bagaimanapun, dia tidak mendapat pekerjaan, bahkan telah pengsan akibat keletihan selepas lari dari Ella. Sepupu Natasha yang menemuinya telah membawa Mona pulang. Mona akhirnya dibanti oleh keluarga Natasha. Cerpen ini ditutup dengan gambaran watak Mona dan anaknya menatapi gambar graduasi dirinya di samping ibu.
Watak Mona merupakan watak utama pilihan penulis dalam cerpen ini. Mona masih bersekolah dan mempunyai teman seperti Natasha, Alia dan Haliza. Mona mempunyai seorang ibu bernama Mak Leha. Mona hanya tinggal bersama-sama ibu kerana bapanya sudah 3 tahun meninggal dunia.
Penulis telah memilih watak Mona mewakili peristiwa dalam masyarakat tentang nasib dan emosi golongan remaja miskin. Penulis menggambarkan perasaan Mona sebagai remaja miskin apabila berhadapan dengan masyarakat di sekeliling, khususnya apabila bersangkutan dengan masalah kemiskinan yang ditanggung oleh watak ini.
Pada permulaan cerpen ini, penulis telah menggambarkan keadaan ini; penulis menceritakan keadaan Mona yang membeli barang persediaan untuk majlis hari jadi kawan baiknya. Mona sebagai seorang kawan baik Natasha ingin meraikan hari jadi kawannya walaupun dia sebenarnya tidak mampu untuk hadir ke majlis hari jadi anak orang kaya. Kehadiran pada hari itu memerlukan Mona berpakaian cantik supaya tidak kelihatan berbeza dengan tetamu yang lain. Mona juga perlu membeli hadiah untuk diberi kepada Natasha. Penulis telah menggunakan watak Mona mewakili golongan remaja miskin apabila dijemput hadir ke majlis hari jadi kawannya yang kaya.
MONA membelek – belek pakaian yang dijual itu, senyumannya melebar. Hatinya berasa tidak sabar untuk menghadiri majlis hari jadi Natasha. Alia dan Haliza pula tengah memilih kasut dan beg tangan untuk dihadiahkan kepada Natasha. Tangannya menarik satu gaun merah, dia mencari tanda harganya. Matanya terbeliak. RM 150.00. Dia tidak menyangka harga gaun itu mencecah ratusan ringgit. Dia menoleh ke arah dua orang kawannya, mereka sudah ke kaunter pembayaran. Mona mengira jumlah wang di dalam begnya. Duitnya hanya cukup untuk perbelanjaan selama satu bulan, itulah duit simpanannya.
Mona, walaupun seorang remaja miskin, tetapi emosi dan keinginannya tetap sama seperti remaja lain yang mahu berhibur dan meraikan kawannya. Dia juga pergi membeli baju dan hadiah menurut Alia dan Haliza untuk hadir ke majlis hari jadi Natasha. Cuma beza bagi Mona ialah dia terpaksa menggunakan wang simpanannya untuk membeli baju baharu.
Mona terlalu teruja untuk hadir ke majlis hari jadi Natasha sehingga membayangkan majlis itu nanti tentulah akan sangat mewah. Oleh itu , dia merasakan bahawa dirinya perlu memakai gaun merah yang cantik untuk hadir seperti tulisan pengarang;
Mona mencapai gaun merah itu dan dia membayarnya. Hanya RM 30.00 yang tersisa. Mereka kemudian pulang ke rumah, Mona membayangkan majlis hari jadi Natasha sangat mewah.
Penulis seterusnya menghadirkan konflik dalam watak Mona akibat daripada tindakannya membeli baju baharu. Naluri remaja yang suka berhibur dan bergaya dilukis oleh penulis bagi menjelmakan watak Mona. Namun persoalan sebenar yang ingin ditonjolkan oleh penulis adalah tentang kesan daripada keinginan seorang remaya miskin yang ingin bergaya seperti orang mampu akan menimbulkan konflik tentang keperluan lain yang lebih mendesak seperti tulisan penulis;
Setibanya di rumah, Mak Leha sedang menyapu daun – daun kering di hadapan rumah. Matanya menangkap beg pakaian di tangan Mona. Mona memberi salam, mak Leha mengerutkan dahinya.
“Kamu dari mana, balik – balik dengan pakaian baru. Kamu beli baju baru? ” Soal Mak Leha.
Mona mengangguk. Dia segera masuk ke dalam rumah. Mona segera bersiap, dia tidak mahu lewat ke majlis hari jadi rakannya. Mak Leha memanggil anaknya.
“Mak panggil Mona?”
Mak Leha mengangguk. Tangannya memegang botol ubat yang kosong.
“Mona ada duit sikit? Mak nak pinjam, ubat mak semua dah habis. Mak nak beli ubat tetapi duit mak cukup-cukup untuk membeli beras saja tadi.”
Konflik timbul dalam diri Mona apabila emaknya yang sakit kehabisan ubat dan memerlukan wang untuk membeli ubat. Apabila dia memohon bantuan Mona, Mona tidak dapat membantu kerana wang simpanannya telah digunakan untuk mendapatkan gaun merah.
Konflik dalam diri Mona terus berkembang apabila tindakannya itu dikatakan tidak wajar oleh emaknya. Keadaan ini menyebabkan Mona terasa bertamah bersalah seperti tulisan pengarang;
“ Eh, habis Mona beli apa tadi? Kalau Mona mampu beli barang mahal, takkan dengan mak sendiri pun hendak berkira.” Mak Leha sedikit kecewa dengan anaknya.
Mona terdiam, dia memikirkan satu alasan.
“ Itu gaun untuk Natasha nanti, Mona bukan belikan gaun itu dengan duit sendiri. Alia yang beri duit, Mona tolong belikan.” Mona menipu.
Mona terasa amat bersalah oleh kata-kata ibunya sehingga dia cuba menafikan anggapan ibunya dengan menipu. Apabila terpkasa menipu ibunya; sesuatu perbuatan tidak baik mendatangkan kesan emosi semakin bersalah dalam diri Mona. Penulis terus menampakkan kesan itu dengan keadaan ibunya yang batuk yang boleh menambah rasa bersalah dalam diri Mona kerana tidak dapat membantu ibunya membeli ubat akibat wang yang sudah digunakan untuk membeli gaun merah.
Mak Leha batuk dengan teruk, dia tidak memaksa Mona, malah berasa bersalah kerana tidak dapat memberi kesenangan kepada Mona.
Malah penulis melanjutkan konflik dalam diri Mona selepas balik dari majlis hari jadi Natasha. Emaknya tidur lewat kerana menunggu Mona balik hingga pukul 1. 30 pagi sedangkan emaknya sakit. Keadaan itu menambahkan rasa bersalah dalam diri Mona.
Mak Leha menunggu kepulangan anak gadisnya. Jam telah menunjukkan pukul 1:30 pagi. Dia mulai risau, mahu menghubungi anaknya tetapi dia sendiri tidak mempunyai telefon bimbit. Mata Mak Leha semakin memberat tetapi dia tetap menunggu anaknya. Tombol pintu tiba – tiba bergerak, Mona terkejut melihat ibunya belum tidur.
“Mak? Mak belum tidur? Sudah lewat malam mak, mak pun tahu kesihatan mak tak seberapa.” Mona mendapatkan ibunya.
“Mak risaukan kamu. Kamu pergi ke mana?” Mak Leha batuk kecil.
Mona menjelaskan dia hanya ke rumah Natasha, dia mengurut belakang ibunya.
Keadaan ibu menimbulkan kerisauan Mona. Mona diselubungi rasa bersalah apabila mengaitkan keadaan ibu dengan tindakannya membeli baju gaun merah untuk meraikan hari jadi Natasha;
Selesai mandi, Mona ke dapur. Dia membancuh air kopi sambil menyiapkan kerja sekolahnya. Dia harus menyiapkannya dengan segera kerana dia mahu tidur, telinganya menangkap satu bunyi. Mona berdiri di hadapan bilik ibunya, bunyi batuk ibunya tidak berhenti. Mona berasa sangat sedih, ibunya semakin tua dan sakit. Dia teringatkan harga baju yang dibelinya tadi dan dia juga teringat dengan ubat – ubatan ibunya.
Mona menangis sendiri, dia berasa sangat bersalah.
Penulis telah mengaitkan beberapa peristiwa dengan masalah Mona. Mona telah mengorbankan wang simpanannya untuk membeli gaun. Pembelian itu menyebabkan Mona tidak dapat membantu membeli ubat ibunya dan dia terpaksa menipu. Baju gaun itu penting untuk hadir meraikan hari jadi kawan baiknya. Watak Natasha sungguh baik kepadanya. Dia sebagai seorang kawan menghargai hubungan baik itu dan sanggup datang meraikan hari jadi kawan walaupun dia rasa kekurangan dan sanggup menggunakan wang simpanan untuk menampal kekurangan diri agar kelihatan bergaya pada hari jadi kawan karibnya. Mengapakah Mona berbuat demikian? Penulis telah menjelaskannya dengan mengaitkan watak baik Natasha kepada Mona seperti berikut;
Dia akui Natasha banyak membantunya di sekolah, Natasha sangat baik terhadap dirinya. Natashalah yang selalu menghulurkan duit kepadanya apabila dia tiada duit belanja. Bukan itu sahaja, segala buku – buku rujukan juga Natasha yang tolong belikan.
Penulis bukan sahaja menceritakan watak Natasha membantu dari segi kewangan dan buku-buku rujukan. Lebih daripada itu, Natasha sungguh memahami keadaan walaupun tanpa diminta dan diberitahu. Sikap Natasha itu membuatkan hati Mona tersentuh lantas memeluknya seperti peristiwa berikut;
“Aku tahu kau belum makan, aku ada belikan sedikit makanan untuk kau. Makanlah. Waktu rehat akan tamat tidak lama lagi.”
“Kau memang tahu aku belum makan?” Soal Mona dengan sayu.
“Kau kawan baik aku, aku kenal sangat dengan kau. Kau akan ke perpustakaan kalau kau tidak makan.”
Mona memeluk Natasha dengan erat, Mona menjamah makanan dengan lahap sebelum tamatnya waktu rehat.
Petikan di atas membuktikan baiknya sikap watak Natasha kepada Mona. Perwatakan tersebut mengukuhkan struktur plot cerita tentang sebab Mona sanggup membelanjakan wang untuk hadir ke majlis hari jadi Natasha agar kelihatan cantik bagi meraikan sahabat karibnya itu. Namun begitu. penulis juga kritis terhadap tindakan Mona. Penulis mengkritik sebilangan remaja yang suka bergaya melebihi kemampuan sedangkan berpakaian sederhana sudah memadai untuk hadir ke majlis keraian. Kritikan ini disampaikan oleh penulis melalui watak sepupu Natasha seperti berikut;
“Mona, mereka semua sepupu aku.” Natasha memperkenalkan sepupunya.
Mona tersipu – sipu malu, salah seorang sepupu Natasha menegur pakaian Mona yang nampak mahal.
“Cantik baju, mesti mahal.”
“Eh, baju saya sememangnya mahal. Saya yang mendapat malu kalau guna baju murah.” Jawab Mona dengan angkuh.
“Tiada salahnya kalau menggunakan pakaian murah, tidak juga kita membazir.”
Penambahbaikan
Mona merupakan watak utama pilihan penulis yang tugasnya membawa mesej dan gerak laku sesuai dengan perwatakannya dalam cerita. Dalam hal ini, penulis perlu cermat untuk melukis watak hero atau heroin, khususnya yang membawa mesej dan nilai baik. Jika ada sedikit kelemahan, tentulah masih boleh diterima sebagai watak manusia biasa. Namun, jangan sampai kelemahan itu bertentangan sikapnya dalam satu cerita atau ketara percanggahan itu.
Misalnya perwatakan Mona sebagai seorang remaja miskin dan sangat sayang kepada ibunya sewajarnya dilukis sebagai watak baik-baik dan sebagai anak yang beradab kepada ibunya. Namun begitu terdapat beberapa dialog yang bercanggah dalam cerpen ini seolah-olah menggambarkan sebaliknya pula watak Mona. Contohnya dialog seperti berikut;
“Mak, Mona tak ada duit. Mona bukannya kerja, mak pergilah menjual tin – tin kosong yang selalu mak kutip.”
Dialog di atas mencacatkan perwatakan Mona sebagai watak utama yang sepatutnya menagih simpati pembaca agar menghargai watak heroin ini. Namun, dengan petikan dialog di atas telah menggambarkan sikap negatif seorang anak kepada ibunya. Walaupun Mona tidak dapat membantu ibunya membeli ubat, tetapi perkataan ‘mak pergilah menjual tin-tin kosong…” agak keterlaluan diucapkan oleh watak baik seorang anak yang mengasihi ibu.
Contoh percanggahan lain perwatakan juga berlaku tentang pakaian Mona. Mona berkorban membeli baju gaun walaupun tidak mampu; boleh dianggap pengorbanan seorang sahabat baik. Namun dalam situasi lain, percanggahan watak berlaku kerana pakaian cantik itu bukanlah untuk meraikan sahabatnya tetapi tujuan itu telah dicacatkan oleh dialog berikut;
“Eh, baju saya sememangnya mahal. Saya yang mendapat malu kalau guna baju murah.” Jawab Mona dengan angkuh.
Kesimpulannya cerpen ini baik kerana mempunyai mesej dan kritikan masyarakat melalui watak dan perwatakan yang dibina oleh penulis. Peristiwa-peristiwa dalam cerita pula saling berkait untuk mendirikan plot cerita. Konflik pula dibina telah menghidupkan cerita hingga bergerak cergas hingga ke penghujung cerita. Syabas kepada penulis, teruslah menulis dengan teliti dan diiringi dengan ilmu agar terus bersinar bagai bintang yang tinggi dan kerlipannya boleh dilihat oleh ramai.