KUCHING: Pengamal media di Sarawak diseru untuk memainkan peranan lebih aktif dalam membanteras penyebaran berita dan maklumat palsu, terutamanya di media sosial.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, menekankan bahawa perkembangan pesat dalam bidang digital dan telekomunikasi membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk menyalahgunakan teknologi, termasuk dengan bantuan kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata pengamal media harus lebih peka terhadap berita yang disebarkan di platform media sosial dan segera membuat laporan bagi mengelakkan masyarakat terpedaya dengan maklumat palsu.
“Seseorang perlu menegaskan perkara ini, kerana jika tidak, orang ramai tidak akan tahu. Mereka benar-benar menyangka saya terlibat dalam menjual produk yang sebenarnya tidak wujud.
Perkara-perkara seperti ini dijangka akan berlaku lebih kerap. Oleh itu, setiap seorang daripada anda mesti melaporkannya dan terus memberi perhatian terhadap isu ini,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis makan malam media sempena Sambutan Tahun Baharu Cina yang diadakan di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Dalam ucapannya, Dr. Sim, yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, menggalakkan pengamal media untuk memanfaatkan teknologi AI bagi meningkatkan kualiti penulisan laporan berita.
“AI bukan sahaja boleh membantu mempercepatkan penyediaan laporan tetapi juga memastikan ketepatan maklumat, asalkan digunakan dengan cara yang bertanggungjawab,” tambah beliau.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr. Penguang Manggil, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Dato Ir. Lo Khere Chiang, ADUN Kota Sentosa Wilfred Yap Yau Sin, ADUN Meradong Datuk Ding Kuong Hiing, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng serta Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Tan Kai.
Oleh Shahrul Qaizat / Mohd Neenatul Aizal