
SIBU: Masyarakat perlu lebih peka terhadap risiko jangkitan rabies yang bukan sahaja melibatkan anjing, malah turut menular dalam kalangan kucing peliharaan.
Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Kaunselor Sempurai Petrus Ngelai berkata, masih terdapat salah tanggapan bahawa penyakit rabies hanya menjangkiti anjing, sedangkan beberapa kes kebelakangan ini melibatkan kucing.
“Kucing sering dianggap kurang berbahaya kerana tinggal bersama manusia di dalam rumah. Namun, kucing yang dijangkiti melalui pergaulan dengan kucing liar di luar boleh membawa virus masuk ke dalam rumah tanpa disedari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Vaksinasi Anti-Rabies, Mikrocip dan Perlesenan anjuran MDLBS di Gereja Methodist Sang Ik, Tanjung Kunyit, hari ini.


TINGKATKAN KESEDARAN… Program Vaksinasi Anti-Rabies, Mikrocip dan Perlesenan anjuran MDLBS di Gereja Methodist Sang Ik, Tanjung Kunyit, hari ini.
Menurutnya, anjing biasanya menunjukkan simptom seperti meleleh air liur atau takut cahaya matahari dan air apabila dijangkiti rabies, namun gejala sedemikian sukar dikesan pada kucing.
“Sehubungan itu, saya menggesa MDLBS dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk turut memberi tumpuan kepada populasi kucing dalam usaha pencegahan rabies,” kata beliau.
Beliau menggesa masyarakat agar menyokong dan menyebarluaskan kempen vaksinasi serta penggunaan mikrocip ke atas haiwan peliharaan.
“Langkah ini penting bagi membolehkan pihak berkuasa memantau jumlah haiwan peliharaan dan mengawal penularan rabies.
“Kita tidak mahu orang menganggap semua kes rabies berpunca daripada anjing liar, sedangkan banyak kes melibatkan anjing peliharaan yang berkeliaran di luar dan dijangkiti sebelum menggigit orang,” jelasnya.
Katanya, kebanyakan anjing liar telah ditangkap sejak beberapa tahun lalu, dan kini yang berkeliaran kebanyakannya adalah anjing peliharaan.
“Dengan pemasangan mikrocip, kita boleh mengenal pasti jumlah sebenar anjing peliharaan di kawasan tertentu seperti di Tanjung Kunyit, sekali gus membantu kawalan dan pemantauan sekiranya berlaku kes jangkitan,” kata beliau lagi.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar dan Kesihatan Awam MDLBS yang juga Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau, Setiausaha MDLBS, Ng Siang Wei serta yang lain.
Oleh Akun Giman