SPAOH: Penduduk luar bandar di negeri ini dinasihatian agar berhati-hati dengan panggilan telefon daripada orang tidak dikenali atau individu yang mencadangkan wang atau usaha mencari keuntungan menarik kepada mereka.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata mereka ini adalah penipu dan mereka juga mendekati orang di kawasan luar bandar.
“Saya telah diberitahu tentang kes-kes yang berlaku seperti itu, terutamanya melibatkan kes penipuan bungkusan,” katanya di sini hari ini.
Uggah berucap merasmikan Hari Bersama Komuniti di Rumah Mendit Unsu di Penom sebelum merasmikan pembukaan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Penom Paku bagi kawasan Bukit Saban.
Projek pembinaan NADI dengan kos berjumlah RM400,000 itu adalah projek Kementerian Komunikasi yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Ia merupakan satu dari empat kawasan di bawah kawasan Parlimen Betong. Tiga lagi di Betong, Debak dan Spaoh.
Mengenai pusat itu, Uggah berkata kursus latihan berkaitan perdagangan dalam talian, e-sukan, latihan kemahiran, malah membiasakan mereka tentang perkara asas seperti membaca kod QR dan lain-lain akan diperkenalkan di Pusat NADI.
“Kita berharap ia dapat membuka pintu kepada mereka untuk mengetahui apakah peluang untuk membuat pilihan pendapatan kontemporari menggunakan teknologi internet.
“Sasaran kerajaan adalah untuk membantu rakyat meningkatkan pendapatan mereka. Selain itu, kita ingin membantu mereka berkomunikasi dengan dunia luar. Pusat ini menggunakan sistem internet Starlink berkelajuan tinggi,” katanya.
Uggah yang diiringi Ahli Parlimen Betong Datuk Dr Richard Rapu seterusnya menyampaikan surat kelulusan kepada lebih 30 penerima projek pertanian dari Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
Oleh ADI SAFARMAN