
KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati apabila dimasukkan ke dalam kumpulan (group) di aplikasi Telegram dan WhatsApp kerana mereka berisiko menjadi mangsa pelaburan dalam talian yang tidak wujud.
Ketua Pegawai Operasi Yayasan Digital Malaysia Ahmad Faizal Zulkipli berkata jenayah pelaburan itu kini kian meluas apabila mangsa dijanjikan dengan pelbagai pulangan menarik dalam tempoh yang singkat termasuklah keuntungan RM300 hanya dalam tempoh beberapa jam.
“Penipuan pelaburan ini melibatkan pelaburan dengan harapan labur RM50, lagi tiga jam akan dapat RM300. Kita perlu tahu dalam group tersebut mungkin ada 30 orang, tetapi hanya ada satu atau dua sahaja orang luar, yang lain merupakan ahli sindiket dan tidak berada di Malaysia.
“Selain itu, bahasa yang digunakan penipuan dalam talian atau scammer juga boleh dikenal pasti kerana tidak menggunakan bahasa Malaysia. Sesetengah daripada mereka guna istilah yang jarang didengari di negara kita. Jadi, amalan yang paling selamat adalah elakkan perkara yang ‘too good to be true’,” katanya ketika menjadi tetamu pada porgram Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV, hari ini.
Ahmad Faizal mengingatkan orang ramai yang ingin membuat pelaburan dalam talian untuk melakukan semakan nombor akaun dan nombor telefon terlebih dahulu menerusi portal ‘SemakMule’ yang diperkenalkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sementara itu Ahmad Faizal menyarankan para peniaga supaya menggunakan teknologi terminal pembayaran digital (DuitNow QR Soundbox) bagi mengelakkan penipuan melibatkan kaedah pembayaran tersebut selain menyemak transaksi setiap kali pelanggan membuat bayaran.
Beliau berkata jenayah siber melibatkan sistem kod respons pantas (QR) sering menjadi taktik scammer memanipulasi para peniaga dengan membuat resit pembayaran palsu melalui aplikasi berbayar atau secara dalam talian.
“Jenayah ini berevolusi dan dikhuatiri akan terus berlaku lebih-lebih lagi minggu ini orang ramai mula sibuk membeli belah menjelang perayaan akan datang, maka penipu akan memanipulasi penjual dengan menunjukkan transaksi resit palsu,” katanya.
Beliau berkata resit palsu boleh dibangunkan secara mudah menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI) atau boleh dibeli menerusi pasaran gelap atau ‘darkweb’.
“Resit itu juga boleh ditetapkan (setting) kepada semua jenis bank dalam usaha memperdayakan penjual,” katanya. – Bernama