LUNDU: Orang ramai diminta mengelak daripada mempercayai sebarang berita palsu yang tidak mempunyai sumber sahih.
Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Dato Sri Tiong King Sing berkata dengan tempoh pilihan raya yang berterusan dan berbaki tujuh hari lagi, terdapat banyak isu hangat yang tular, rata-ratanya palsu.
“Jika berita itu tidak mempunyai apa-apa nilai dan anda (rakyat) mempercayainya, ia akan menjadi kerugian anda pada akhirnya.
“Sebab itu saya menasihatkan rakyat khususnya golongan belia supaya tidak terlalu mempercayai isu yang tular di media sosial kerana anda (belia) akan menjadi tulang belakang negara tidak lama lagi.
“Sebagai tulang belakang, anda perlu benar-benar memahami isu ini dan bukannya mempercayai secara membuta tuli apa itu berita palsu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Kampung Pasir Hulu, Lundu di sini hari ini.
Beliau menggesa penduduk di sini untuk meneruskan sokongan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana ia mempunyai rekod prestasi cemerlang.
“Jika dilihat beberapa tahun lalu, penyandang di sini gagal membawa sebarang perkembangan kepada penduduk (Parlimen) Mas Gading.
“Mengambil (DUN) Opar sebagai contoh, Billy Sujang berjaya membawa pembangunan dan membantu rakyat walaupun baru sepuluh bulan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“Ini menunjukkan GPS menepati janji yang mereka buat. Dengan itu, saya ingin menyeru kepada semua rakyat di Mas Gading supaya memilih calon kita Lidang Disen, ” katanya.
Turut hadir, ADUN Opar Billy Sujang, ADUN Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep dan calon GPS bagi kerusi Parlimen Mas Gading, Lidang Lisen.
Oleh SHAHRUL QAIZAT