
PETRA JAYA: Isu kehadiran buaya perlu diberi perhatian kerana ramai penduduk di Sarawak masih bergantung kepada sungai untuk menjalani kehidupan harian mereka.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, berkata situasi itu merupakan satu peringatan serius kepada semua pihak bahawa setiap individu mempunyai peranan penting dalam memastikan alam sekitar dijaga dengan baik.
Menurut beliau, kesedaran masyarakat amat penting supaya penduduk mengetahui kehadiran buaya di kawasan sungai yang digunakan dalam kehidupan seharian.
Beliau berkata kerajaan negeri memahami kebergantungan rakyat Sarawak terhadap sungai, namun kesedaran mengenai kewujudan buaya perlu dipertingkatkan bagi mengelakkan sebarang risiko.
Dalam hal ini, katanya, kerajaan negeri telah menubuhkan Sarawak Croc Watch bagi membolehkan orang ramai mengetahui lokasi sungai di Sarawak yang mempunyai kehadiran buaya.
Menurut beliau, platform tersebut membolehkan orang ramai memuat turun maklumat dan mengetahui kawasan sungai yang dikenal pasti mempunyai buaya supaya mereka lebih peka terhadap kehadiran reptilia tersebut.
Beliau berkata usaha mendidik masyarakat merupakan perkara paling penting dalam konteks Sarawak, memandangkan sungai masih menjadi nadi kehidupan ramai penduduk.
Datuk Len Talif berkata demikian selepas menghadiri Program Kelestarian: Kelestarian Dari Dalam, Bumi Hijau Untuk Masa Hadapan 2025 di Surau Darul Hijrah, Darul Hana, hari ini.
Oleh Shikin Mahmud