Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Wartawan berintegriti bukan sekadar penulis berita
  • SEMASA

Wartawan berintegriti bukan sekadar penulis berita

Utusan Sarawak 2 days ago
KETUA Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berucap pada Majlis Makan Malam Sedekad Kilauan Kelab Media Mutiara Pulau Pinang di sini hari ini. Foto Bernama

BUTTERWORTH: Wartawan berintegriti bukan sekadar penulis berita sebaliknya turut memainkan peranan sebagai penyampai maklumat sahih, ejen semak dan imbang dalam sebuah negara berdemokrasi serta pencorak pemikiran rakyat.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata dalam dunia serba pantas dan sarat dengan lambakan maklumat yang adakalanya mengelirukan, wartawan menggalas tugas penting dalam menapis, menyelidik dan memastikan maklumat yang disampaikan kepada masyarakat adalah tepat serta sahih.

“Dalam era penyebaran maklumat yang begitu pantas, wartawan harus mempunyai nilai kebertanggungjawaban untuk menjadi sempadan antara fakta dan fitnah, antara kebenaran dan manipulasi,” katanya ketika berucap pada Majlis Kilauan Mutiara dan Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini malam ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa pengamal media agar terus memegang teguh prinsip etika kewartawanan demi memastikan maklumat yang disebarkan bukan sahaja tepat tetapi juga berupaya memupuk kefahaman dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Chow turut menzahirkan penghargaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang terhadap peranan media sebagai rakan strategik dalam pembangunan negeri itu. 

“Saya percaya dengan sokongan dan kerjasama media, dasar serta inisiatif kerajaan dapat difahami dan dinilai secara adil oleh rakyat,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kelab Media Mutiara Mohd Iskandar Othman berkata HAWANA kini menjadi platform penting untuk menghargai peranan media di samping wadah memperjuangkan kebebasan dan keselamatan wartawan selain menyemarakkan perbincangan tentang etika, cabaran digital serta masa depan industri.

Beliau berkata selain itu, inisiatif Kementerian Komunikasi melancarkan Tabung Kasih @HAWANA pada April 2023, yang dilaksanakan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), amat dihargai dalam menyantuni pengamal media yang memerlukan.

“Sejak penubuhannya, tabung ini telah memberikan bantuan kepada 315 pengamal media di seluruh negara termasuk mereka yang masih aktif dan telah bersara khususnya yang berdepan masalah kesihatan, kesempitan hidup atau bencana.

“Inisiatif ini bukan sahaja memberikan bantuan kewangan tetapi juga menunjukkan keprihatinan dan penghargaan terhadap jasa serta pengorbanan para wartawan dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat,” katanya.

Kemuncak sambutan HAWANA 2025 akan berlangsung pada 14 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dengan perasmian oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dianggarkan 1,000 pengamal media dari dalam serta luar negara akan hadir.

HAWANA 2025 menampilkan pelbagai acara termasuk Pesta Pantun pada 31 Mei lepas dan majlis prapelancaran bersama rakan strategik di Wisma Bernama pada 3 Jun ini serta forum media anjuran bersama Institut Akhbar Malaysia pada 14 Jun.

-Bernama

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Arab Saudi tingkat kesiapsiagaan, lindungi 1.8 juta jemaah
Next: Arab Saudi tawar Malaysia peluang kerjasama anjur Ekspo 2030 Riyadh

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.