NEW YORK: Seorang wanita memberitahu mahkamah persekutuan Manhattan bahawa bekas presiden, Donald Trump, 76, memperkosanya di sebuah bilik persalinan pusat beli-belah di kotaraya itu sekitar 1996.
E Jean Carroll mendakwa beliau mengambil masa lebih 20 tahun untuk memfailkan tuduhan kerana bimbang dengan pengaruh serta kuasa Trump.
“Saya berada di sini ni kerana Donald Trump memperkosa saya.
“Saya di sini untuk mendapatkan semula kehidupan dan maruah diri,” kata bekas wartawan terkenal Amerika Syarikat (AS) itu sambil berkata Trump berbohong dan merosakkan maruahnya.
Trump yang tidak hadir pada prosiding itu, bagaimanapun, menafikan tuduhan yang dibuat Carroll, 79.
Menceritakan detik-detik perkenalan, Carroll berkata, beliau bertembung dengan Trump di pintu masuk pusat beli-belah Bergdorf Goodman pada Khamis ketika musim bunga 1996.
Ketika itu, Carroll adalah penulis dan penasihat majalah gaya hidup popular Elle sementara Trump pula seorang pemaju hartanah yang berjaya dan personaliti sosial masyhur di New York.
Kata Carroll, Trump pada ketika itu meminta nasihat daripadanya untuk membeli pakaian dalam untuk wanita tidak dikenali dan kemudian secara berseloroh mencadangkan masing-masing mencubanya.
Sebaik sampai di bilik persalinan dan menutup pintu, Caroll mendakwa Trump melompat ke arahnya dan menolaknya ke dinding menyebabkan kepalanya terhantuk.
Sambil menekannya ke dinding, kata Carroll, Trump terus merogolnya dalam keadaan masih berpakaian sehingga beliau berjaya menolaknya dan berlari keluar dari bilik persalinan itu.
Selama bertahun selepas kejadian itu juga, Carroll berkata, beliau tidak pernah berkongsi dengan sesiapa kecuali dua rakannya kerana bimbang Trump akan bertindak balas atau terfikir ‘itu salah diri sendiri’ selain berpendapat banyak pihak akan menyalahkan mangsa rogol terhadap apa yang berlaku.
Trump dalam penafiannya sebelum ini mendakwa, beliau tidak berada di pusat beli-belah itu bersama Carroll dan tidak tahu siapa wanita berkenaan ketika pertama kali menceritakan kisah itu secara terbuka dalam buku kisah hidupnya pada 2019.
Dalam satu hantaran yang dimuat naik di akaun media sosialnya pada Rabu lalu, Trump mendakwa kes itu sebagai ‘penipuan yang sengaja diada-adakan’ selain menuduh peguam Carroll sebagai ‘penyokong politik’.
Carroll yang memfailkan saman kedua ke atas Trump, adalah antara orang pertama yang mengemukakan tuntutan undang-undang di bawah Akta Orang Dewasa Terselamat yang dikhususkan untuk individu berusia 18 tahun ke atas.
Menerusi saman itu, Carroll menuntut ganti rugi punitif yang tidak ditentukan untuk kesan psikologi, penderitaan dan maruahnya yang tercemar.
Tuduhan itu ini adalah salah satu daripada beberapa siri kes mahkamah terhadap Trump yang kini berusaha untuk sekali lagi bertanding selaku wakil Republikan bagi jawatan Presiden AS pada pemilihan akan datang.
Setakat ini, kira-kira 12 wanita menuduh Trump melakukan pencabulan seksual terhadap mereka, namun beliau menafikan kesemuanya dan belum pernah lagi didakwa atas mana-mana tuduhan.
Walaupun tiada hukuman jenayah boleh dikenakan berhubung tuduhan kes sivil Carroll, ini akan menjadi kali pertama di mana beliau didapati bersalah kerana serangan seksual.
Trump sudah pun memberi akuan bersumpah berhubung kes berkenaan dan tidak dijangka dipanggil ke kandang saksi, perbicaraan dijangka mengambil masa dua minggu.
Awal bulan ini, Trump mengaku tidak bersalah terhadap 34 tuduhan berhubung pembayaran wang bagi ‘menutup mulut’ seorang pelakon lucah yang ada hubungan dengannya, sebelum pemilihan presiden 2016.
Trump juga disiasat kerana perbuatannya cuba mengubah keputusan kekalahannya dalam pemilihan presiden 2020 di negeri Georgia, selain menyimpan dokumen rahsia dari Rumah Putih dan mendorong penyokongnya menyerbu bangunan Capitol . – AFP