Oleh: Dilah Tuah
RAMAI yang ingin menjadi penyair dan tidak kurang juga yang mengaku sebagai penyair. Namun, tugas penyair bukanlah sesuatu yang mudah. Ramai yang cuba mendekati genre ini, namun tidak semua mampu menguasai kata dan mencipta makna. Hanya mereka yang benar-benar menjiwai puisi, mampu memahami dan merasakan setiap patah kata yang terbina di dalamnya. Oleh itu, tidak semua khalayak memahami bahasa puisi, kerana puisi ditulis menggunakan kata-kata yang sedikit, namun membentangkan makna yang luas. Selain itu, puisi bukan sekadar susunan kata-kata yang indah, namun sebuah cerminan jiwa dan ekspresi seni yang memerlukan kehalusan budi dan ketajaman fikiran. Dalam dunia puisi, hanya yang ikhlas dan berbakat akan terus bertahan dan dihargai.
Dalam dunia sastera, puisi diklasifikasikan sebagai manifestasi kebijaksanaan yang paling halus. Kebijaksanaan dalam konteks puisi merujuk kepada keupayaan penyair menyusun diksi, bunyi dan irama yang mampu memberikan kesan estetika yang mendalam kepada pembaca. Penyair yang bijaksana, mampu menggabungkan unsur-unsur ini dengan ketelitian dan kepekaan, serta mencipta karya yang bukan sahaja indah dari segi bahasa, tetapi juga kaya dengan makna dan emosi. Dalam penulisan puisi, setiap kata dipilih dengan penuh ketelitian bagi memastikan kesempurnaan struktur dan keharmonian bunyi serta makna. Proses ini penting bagi mencipta pengucapan puisi yang sarat dengan keindahan dan kebijaksanaan yang tersirat.
Puisi yang baik tidak semestinya ditulis dengan kata-kata yang bombastik atau berbunga-bunga secara melampau. Sebaliknya, bahasa puisi harus indah dan sederhana, serta mampu memberikan kesan estetik yang mendalam kepada khalayak. Misalnya, puisi-puisi Usman Awang yang ditulis dengan bahasa yang mudah, namun tetap berupaya memancarkan nilai estetika yang tinggi. Justeru, dalam penulisan puisi, penyair sebenarnya lebih mengetahui tentang puisi yang mereka hasilkan. Kesedaran penyair tentang hal ini akan melindungi mereka daripada menghasilkan puisi yang tidak berpijak di dunia nyata atau terawang-awang tanpa tujuan yang jelas. Keindahan sejati dalam puisi terletak pada keupayaan penyair menyentuh jiwa pembaca melalui kata-kata yang jujur dan bermakna.
Terdapat beberapa peringkat dalam penulisan puisi. Bagi penyair pemula, kebanyakan puisi-puisi yang dihasilkan berkisar tentang pengalaman diri. Kemudian, peringkat seterusnya pengalaman sosial dan falsafah yang lahir dari pengalaman yang kental. Apabila menanjak dewasa, pengucapan penyair akan terarah kepada mengenal diri dan Ilahi. Pada tahap ini, puisi-puisi penyair akan menggambarkan perjalanan spiritual yang telah dicapai, seperti dalam puisi-puisi mutakhir Abizai yang kini condong bernada Islamik. Perubahan ini menunjukkan tahap kematangan yang lebih tinggi dalam penulisan puisi, berbeza dengan penyair pemula yang masih berkisar tentang pengalaman diri semata-mata.
Bertitik tolak daripada perbincangan di atas, maka ulasan puisi ini akan meneliti tahap penulisan puisi bagi tiga orang penyair yang karyanya tersiar di ruangan ini pada minggu lepas. Antara puisi-puisi yang tersiar ialah “Lukisan Hidup” karya Siti Hajar Ramli, “Menunggumu Walau Habis Terang” karya Alice Mohd, dan “Oh, Tuhan! Izinkan Aku Menjadi Kucing” karya Bandang Galayan. Melalui ulasan ini, kita akan menyelami gaya penulisan, kekuatan bahasa, dan kesan estetika yang dihasilkan oleh setiap penyair, serta menilai cerminan keindahan dan kebijaksanaan dalam puisi-puisi mereka.
Puisi pertama berjudul “Lukisan Hidup” merupakan hasil nukilan Siti Hajar Ramli yang ditulis menggunakan gaya penulisan yang sederhana tetapi penuh makna. Gaya naratif yang digunakan oleh penyair menggambarkan kehidupan sebagai sebuah lukisan yang bergerak bebas, namun terkurung dalam batasan tertentu. Penggunaan metafora yang dipetik dari puisi Abizai seperti “pentas kertas” dan “berus kehidupan“, memberi visualisasi yang kuat serta menggambarkan kehidupan yang diwarnai oleh pengalaman dan perasaan yang beragam.
Dari aspek bahasa pula, bahasa yang digunakan dalam puisi ini sederhana tetapi penuh dengan simbolisme. Kata-kata seperti “berdegup“, “terukir pelangi” dan “membungakan hati” menggambarkan kehidupan dengan cara yang sangat visual dan mendalam. Penyair juga menggunakan kontradiksi seperti “kadang tersisa takdir disyukuri” dan “kadang mendongak bongkak mengaburi” untuk menunjukkan konsep dualisme dalam kehidupan iaitu saat-saat syukur dan saat-saat keangkuhan.
Selain itu, keupayaan penyair menggambarkan kehidupan sebagai sesuatu yang dinamik dan berwarna-warni, berupaya memberikan kesan estetika kepada khalayak pembaca. Manakala peralihan daripada “indah warna membungakan hati” kepada “tubuh yang kaku /ditinggal roh dilambai pergi” mencipta kesan mendalam tentang kitaran kehidupan dan kematian.
Puisi ini berhasil mencerminkan keindahan dan kebijaksanaan dalam kehidupan. Setiap warna dan gerakan berperanan dalam lukisan besar yang disebut kehidupan. Di sisi yang lain, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh penyair. Antaranya, puisi ini terlalu sederhana sehingga tidak mencabar daya fikir khalayak yang mungkin mendambakan sebuah puisi yang kompleks. Selain itu, unsur metafora yang digunakan agak klise dan kurang inovatif. Pembaca yang biasa dengan dunia puisi mungkin merasakan bahawa penyair boleh mencuba metafora yang lebih unik dan memukau daripada metafora yang klise. Tambahan pula, tema kehidupan sebagai perjalanan yang penuh warna dan takdir, sering kali digunakan dalam penulisan puisi. Walaupun tema ini bersifat universal dan relevan, tetap ada risiko ia kelihatan klise jika tidak disampaikan dengan cara yang baharu dan segar.
Walaupun terdapat beberapa kelemahan seperti yang dinyatakan di atas tadi, namun puisi ini tetap memiliki keindahan dan kekuatannya yang tersendiri. Kesederhanaannya yang mendalam serta penggunaan bahasa yang mudah difahami, memberikan kesenangan kepada pembaca untuk memahami hasrat dan tujuan yang ingin disampaikan oleh penyair. Kelemahan-kelemahan ini pastinya tidak mengurangkan nilai puisi tersebut, tetapi menawarkan ruang untuk peningkatan dan inovasi pada masa hadapan.
Puisi seterusnya berjudul “Menunggumu Walau Habis Terang” merupakan hasil nukilan Alice Mohd. Dari aspek bahasa, puisi ini ditulis menggunakan gaya penulisan yang introspektif dan penuh emosi, iaitu memperlihatkan ketabahan hati dalam menunggu walaupun dalam kegelapan. Penyair mengungkapkan perasaan menunggu dengan harapan yang tidak pernah pudar, meskipun dalam ketidakpastian yang menghimpit. Bahasa yang digunakan dalam puisi ini sederhana, namun sarat dengan makna yang mendalam, menekankan kekuatan harapan dan ketabahan. Gaya bahasa yang penuh kejujuran ini, membawa pembaca menyelami perasaan penyair yang penuh pengharapan dan tekad.
Selain itu, bahasa yang digunakan dalam puisi ini mempunyai kekuatan tersendiri. Ungkapan seperti “dalam gelap sendiri” “menjadi teman menunggu” dan “rasa putus asa tolak ke tepi” menggambarkan perasaan yang kuat dan memberikan impak yang mendalam kepada pembaca. Penggunaan unsur repetisi dalam frasa “walau habis terang” menguatkan tema ketabahan dan kesetiaan serta menambah kekuatan emosi pada puisi ini. Dalam hal ini, penyair menggunakan kata-kata yang mudah difahami, namun penuh dengan beban emosi yang meruntun jiwa sehingga menjadikan puisi ini dekat di hati pembaca.
Di samping itu, kesan estetika puisi ini tercipta melalui kontras antara gelap dan terang, yang melambangkan ketidakpastian dan harapan. Visualisasi kegelapan dan cahaya ini memberikan daya tarikan visual yang kuat dan membantu pembaca merasakan perjuangan emosi penyair. Penyair juga berjaya mencipta suasana yang mendalam dan reflektif, serta mengajak pembaca merenung makna kesetiaan dan ketabahan dalam menghadapi cabaran hidup. Setiap bait kata dalam puisi ini membawa pembaca kepada renungan yang mendalam iaitu tentang erti kepercayaan dan kesabaran.
Selain itu, puisi ini dapat dikategorikan sebagai tahap pengalaman awal atau pemula dalam penulisan puisi. Meskipun puisi ini memaparkan perasaan yang mendalam dan mempunyai makna yang jelas, terdapat ruang untuk penyempurnaan dalam beberapa aspek. Penggunaan bahasa yang sederhana dan pengulangan tema yang umum, menunjukkan kecenderungan menuju kepada gaya penulisan yang lebih konvensional. Manakala gaya penulisan yang terlalu langsung dan terbuka, memberikan kesan polos pada puisi ini, iaitu penyair mungkin tidak mengeksplorasi banyak lapisan makna atau menggunakan metafora dan perbandingan yang lebih kompleks untuk menambah kekayaan puisi.
Selain itu, tema harapan dalam kegelapan, meskipun universal, mungkin dianggap klise jika tidak disampaikan dari perspektif yang benar-benar unik. Justeru, bagi menangani kelemahan tersebut, penyair perlu lebih banyak bereksperimen dengan struktur, gaya bahasa, dan tema yang lebih memikat untuk meningkatkan kedalaman pengucapan puisi. Dengan latihan dan eksplorasi yang berterusan, penyair pasti dapat mencapai tahap penulisan yang lebih matang dan kreatif dalam puisi-puisinya pada masa akan datang.
Puisi yang terakhir berjudul “Oh, Tuhan! Izinkan Aku Menjadi Kucing” karya Bandang Galayan hadir dalam empat rangkap yang panjang. Membaca puisi ini akan mendekatkan khalayak dengan keinginan penyair untuk melarikan diri dari penderitaan hidup sebagai manusia. Dalam puisi ini, penyair secara jelas mengutarakan kerinduan untuk hidup sederhana dan penuh kasih sayang seperti seekor kucing, yang dilihat sebagai makhluk yang bebas dari masalah dan disayangi oleh manusia. Setiap bait kata dalam puisi ini memaparkan perasaan penat, putus asa dan keinginan untuk mendapatkan kedamaian yang mungkin hanya dapat dirasakan dalam bentuk kehidupan lain.
Dari aspek binaan diksi, terdapat beberapa elemen dalam puisi ini yang mungkin dianggap klise oleh sesetengah khalayak pembaca. Misalnya penggunaan frasa “Oh, Tuhan!” yang diulang sebanyak empat kali dalam puisi ini. Penggunaan frasa tersebut, walaupun memiliki tujuan untuk mengekspresikan perasaan dan rasa putus asa yang mendalam, namun berpotensi menjadi sesuatu yang klise jika tidak digunakan dengan cara yang kreatif dan bermakna.
Selain itu, tema yang diangkat dalam puisi ini, iaitu keinginan untuk melarikan diri daripada penderitaan hidup dan merindukan kehidupan yang lebih sederhana, juga terdengar polos. Sebagai pengucapan sastera yang tertinggi, puisi seharusnya berupaya menaikkan semangat manusia untuk terus hidup dan bukannya lari dari tanggungjawab sebagai khalifah di atas muka bumi ini. Justeru, keinginan menjadi kucing bukan suatu tujuan yang jelas kerana tidak semua kucing diperlakukan dengan selayaknya. Sebagai penyair, suara batin yang dialirkan lewat bait puisi seharusnya berupaya memberikan kesan dan pesan kepada pembaca, dan bukannya meraikan sikap putus asa serta kekecewaan dalam kehidupan.
Dari perspektif yang lain, puisi ini sangat emosional kerana menggambarkan perasaan kecewa, putus asa dan keinginan untuk melarikan diri daripada kenyataan. Penyair merasa letih menjadi manusia, menghadapi penghinaan dan penderitaan, dan mencari jalan keluar daripada kesengsaraan tersebut dengan impian untuk menjadi kucing. Kelelahan emosi yang dirasakan penyair terpancar jelas dalam setiap baris, menunjukkan betapa beratnya beban yang harus ditanggung. Di sebalik bebanan emosi yang mendalam dalam puisi ini, terdapat pertentangan antara permohonan kepada Tuhan dengan keinginan untuk menjadi haiwan.
Sebagai hamba Tuhan, adalah lumrah bagi manusia untuk berharap sesuatu yang lebih baik dalam kehidupan. Namun, hal ini menimbulkan persoalan penting mengenai perbandingan antara manusia dan haiwan yang dipaparkan oleh penyair dalam puisi ini. Walaupun manusia memiliki kefahaman dan kesedaran yang lebih tinggi, namun keinginan untuk menjadi seekor kucing dianggap sebagai satu bentuk pelarian daripada tanggungjawab serta beban emosi yang dialami dalam kehidupan manusiawi. Hal ini jelas mencerminkan konflik dalaman yang kompleks, antara keinginan untuk bebas seperti kucing dengan tanggungjawab sebagai manusia.
Di sisi yang lain, puisi ini masih berada pada tahap permulaan. Penyair harus berani mencantas kata yang mubazir dan mengurangkan pemerihalan diri yang keterlaluan. Puisi yang baik bukan tentang sosok peribadi penyair semata-mata, namun sebuah lontaran pemikiran, falsafah dan pedoman yang dapat memberikan kesan estetika yang mendalam kepada pembaca. Sebagai pejuang kata, di tangan penyairlah jiwa manusia dapat dilentur dan diluruskan ke arah yang lebih baik. Hal ini bersesuaian dengan konsep puisi yang berperanan sebagai penawar kepada jiwa-jiwa yang berduka dan pembangkit semangat kepada mereka yang ingin terus berjuang.
Kesimpulannya, daripada tiga buah puisi yang dikupas di atas, jelas bahawa karya-karya ini masih berada pada tahap pemula. Tema yang dipilih lebih banyak membincangkan warna-warni kehidupan penyair, sementara gaya penulisan pula masih sederhana dan klise. Penyair perlu lebih banyak membaca, merenung dan tekun mengasah kata-kata yang bermakna. Untuk bertahan lama di dunia puisi, penyair mesti berani bereksperimen dengan kata-kata. Proses ini memerlukan ketekunan dan kesabaran, kerana bahasa puisi lahir dari pengalaman yang mendalam dan usaha berterusan untuk mencapai keindahan dan kebijaksanaan yang sejati. Teruskan berkarya!