
KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menafikan dakwaan bahawa parti itu cuba “membeli” atau memujuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk meraih sokongan bagi membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Beliau berkata komitmen parti itu adalah untuk sentiasa berteraskan integriti dan kepimpinan mesti diperoleh melalui kepercayaan rakyat.
“Kepercayaan anda amat kami hargai dan amanah itu kami pikul dengan penuh rendah hati dan penghormatan. Warisan menghormati mandat rakyat dan proses demokrasi yang menjadi asas pentadbiran negeri kita.
“Kami akan terus melaksanakan peranan yang telah diamanahkan kepada kami dengan penuh maruah, konsisten dan dengan iltizam yang tidak berbelah bahagi untuk berkhidmat kepada Sabah,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Shafie mengulas dakwaan sebuah portal berita kononnya terdapat cubaan daripada Warisan “membeli” atau memujuk ADUN bagi mendapatkan sokongan untuk membentuk sebuah gabungan politik dalam mentadbir Sabah.
Pada PRN ke-17, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperoleh 29 daripada 73 kerusi DUN diikuti Warisan (25), Barisan Nasional (6), Bebas (5), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) (3), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR)(2) manakala Perikatan Nasional (PN), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) serta Pakatan Harapan (PH) masing-masing menang satu kerusi.
Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri ialah 37 kerusi DUN. – Bernama