
BINTULU: Menjelang sambutan Hari Gawai yang diraikan pada 1 Jun setiap tahun, masyarakat Dayak di seluruh Sarawak mula membuat pelbagai persiapan termasuk menyediakan keperluan untuk upacara adat miring yang menjadi sebahagian daripada tradisi turun-temurun.
Miring bukan sekadar satu ritual adat, malah merupakan manifestasi penghormatan terhadap warisan budaya yang diwariskan oleh nenek moyang sejak beratus-ratus tahun lalu.
Upacara ini lazimnya dilaksanakan sebagai tanda kesyukuran atas rezeki yang diperoleh, memohon kesejahteraan serta keberkatan dalam kehidupan.

Di pasar tamu dan gerai-gerai yang menjual keperluan tradisional, pelbagai bahan untuk upacara miring dapat dilihat dijual menjelang musim perayaan.
Antaranya termasuk Semakau (tembakau), nasi, garam, daun rokok, tuak serta beberapa lagi barang yang digunakan sebagai persembahan mengikut adat dan amalan masyarakat setempat.
Bagi masyarakat Iban, setiap bahan yang digunakan mempunyai makna tersendiri.
Penyediaan bahan-bahan tersebut bukan dilakukan secara sembarangan, sebaliknya mengikut susunan dan aturan adat yang telah diamalkan sejak turun-temurun.
Semakau (tembakau) misalnya menjadi antara komponen penting dalam penyediaan persembahan semasa upacara dijalankan.

Adat miring kebiasaannya dipimpin oleh individu yang berpengalaman dalam adat istiadat masyarakat Dayak.
Melalui bacaan mantera atau timang, upacara tersebut menjadi simbol hubungan antara manusia dengan alam serta penghargaan terhadap nilai-nilai yang diwarisi daripada generasi terdahulu.
Walaupun masyarakat kini berdepan arus pemodenan dan perubahan gaya hidup, adat miring masih kekal diamalkan terutama semasa sambutan Hari Gawai, pembukaan rumah baharu, aktiviti pertanian, majlis kesyukuran dan pelbagai acara penting lain.
Kelangsungan amalan ini membuktikan bahawa masyarakat Dayak terus menghargai identiti budaya mereka.

Malah, penglibatan generasi muda dalam mempelajari dan memahami adat istiadat tradisional dilihat penting bagi memastikan warisan tersebut tidak luput ditelan zaman.
Dalam era yang semakin moden, adat miring bukan sahaja berfungsi sebagai amalan tradisional, tetapi turut menjadi lambang jati diri dan kebanggaan masyarakat Dayak.
Keunikan tradisi ini menjadikan ia antara khazanah budaya yang terus dipelihara serta diwariskan kepada generasi akan datang agar kekal relevan dalam landskap masyarakat Sarawak yang pelbagai budaya.
Oleh Carolyne Utih