BINTULU: Seni anyaman tradisional terus mencuri perhatian pengunjung pada Pesta Tumbina 2026 apabila pelbagai hasil kraftangan tempatan dipamerkan, membuktikan warisan budaya berkenaan masih mempunyai nilai serta daya tarikan dalam kehidupan masyarakat masa kini.
Tinjauan media pada malam semalam mendapati gerai kraftangan antara lokasi yang menjadi tumpuan pengunjung di Taman Tumbina Bintulu, dengan pelbagai hasil tangan tempatan dipamerkan untuk dilihat dan dibeli.
Antara produk yang diketengahkan termasuk bakul, beg dan barangan hiasan berasaskan anyaman, selain hasil kraftangan manik seperti gelang, rantai, aksesori serta cenderamata yang hadir dalam pelbagai corak dan reka bentuk.
Kehalusan susunan manik serta kemasan setiap produk memperlihatkan ketelitian dan kesabaran penghasilnya, di samping menampilkan kreativiti serta identiti budaya tempatan yang diterjemahkan dalam bentuk aksesori dan barangan harian.
Salah seorang pengusaha kraftangan manik, Puan Christina Liding Jok, 48, berkata beliau telah lama menghasilkan pelbagai kraftangan berasaskan manik, termasuk gelang, rantai dan aksesori.
Beliau yang merupakan suri rumah sepenuh masa berkata, penglibatannya dalam bidang berkenaan memberi peluang kepadanya mengembangkan kemahiran serta menjana pendapatan melalui hasil kreativiti sendiri.
Menurutnya, penyertaan dalam Pesta Tumbina memberi pendedahan lebih luas kepada produk yang dihasilkannya, khususnya kerana kebanyakan aktivitinya dijalankan dari rumah.
“Penganjuran Pesta Tumbina ini banyak memberi pendedahan kepada produk yang saya hasilkan. Sebagai seorang suri rumah, peluang seperti ini sangat membantu saya untuk memperkenalkan kraftangan kepada lebih ramai orang dan bertemu dengan pelanggan secara bersemuka,” katanya.
Christina berkata, beliau berharap usaha menghasilkan kraftangan manik dapat terus berkembang dan suatu hari nanti produknya mampu dikenali bukan sahaja di Sarawak, malah di luar negeri itu.
“Saya sudah lama menanam cita-cita supaya suatu hari nanti produk saya dapat dikenali oleh lebih ramai orang. Saya berharap kraftangan manik ini bukan sahaja dikenali di Sarawak, tetapi juga dapat diperkenalkan dan mendapat sambutan di luar Sarawak,” katanya.
Penghasilan kraftangan tempatan yang menggabungkan teknik tradisional dengan reka bentuk semasa dilihat mampu memastikan seni berkenaan terus relevan, selain membuka ruang kepada penggiat untuk menjadikan kemahiran tersebut sebagai sumber pendapatan.
Dalam masa sama, pendedahan kepada hasil kraftangan di acara seperti Pesta Tumbina turut memberi peluang kepada pengunjung, khususnya generasi muda, untuk mengenali dengan lebih dekat proses, nilai seni serta kepentingan mengekalkan warisan tempatan.
Selain kraftangan, Pesta Tumbina 2026 turut menghimpunkan pelbagai aktiviti berkaitan alam semula jadi, kebudayaan, pendidikan dan produk tempatan, menjadikannya platform yang mengetengahkan kepelbagaian potensi komuniti serta industri kreatif di Bintulu.
Sambutan terhadap hasil kraftangan yang dipamerkan menunjukkan seni anyaman dan kraftangan manik masih mempunyai ruang untuk berkembang, bukan sekadar sebagai warisan budaya, tetapi juga sebagai produk kreatif yang berpotensi memberi manfaat ekonomi kepada penggiat tempatan.
Oleh Faizah Muzidi





