
TATAU: Usaha memelihara dan memperkasa warisan kraf tangan tempatan terus diperkukuh menerusi Program Pemberdayaan Komuniti Universiti @UniMADANI Fasa 2: Kraf Bagiau – Kelestarian Kraf Buluh Engkalat anjuran Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Rumah Banyang, Rantau Aur di Tekalit di sini, baru-baru ini.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai menyifatkan usaha melestarikan kraf tangan tradisional sebagai langkah penting dalam menjamin kelangsungan warisan tempatan.
“Kraf tangan perlu diteruskan agar tidak lenyap ditelan zaman.
“Usaha UNIMAS ini wajar diperkasa dengan sokongan dana daripada kerajaan terutama di kawasan seperti Kakus yang kaya kepelbagaian etnik dan warisan,” katanya ketika berucap pada program berkenaan.
Beliau turut mengumumkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM20,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Banyang bagi menyokong pembangunan komuniti.
Dalam usaha meningkatkan daya saing penggiat kraf, Dato Sri John Sikie menggalakkan pendaftaran dengan Majlis Kraf Sarawak dan Majlis Kraf Malaysia agar lebih banyak bantuan, latihan serta peluang pasaran dapat disalurkan.
Beliau turut menyarankan agar produk kraf tangan dipasarkan melalui platform digital memanfaatkan jaringan internet yang semakin baik di kawasan Tekalit.
Sebagai simbol sokongan kepada kelestarian industri kraf, UNIMAS turut menyumbangkan sebuah Mesin Pemelah dan Pengeraut Buluh kepada komuniti bagi memudahkan penghasilan produk berasaskan buluh Engkalat.
Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti dan Kelestarian), Prof. Noraziah Abdul Wahab berkata, penganjuran projek Kraf Bagiau adalah bukti bagaimana universiti boleh menjadi jambatan antara ilmu dan masyarakat.
“Sebagai ‘Community Driven University’, UNIMAS berpegang kepada misi menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
“Projek Kraf Bagiau menjadi bukti bahawa ilmu dan komuniti boleh disatukan untuk mencipta impak yang mampan,” katanya.
Program Kraf Bagiau merupakan antara projek terpilih di bawah inisiatif Komuniti@UniMADANI, yang dibiayai oleh Kementerian Kewangan Malaysia dan diselaraskan oleh Pusat Kelestarian Universiti UNIMAS.
Oleh Carolyne Utih