
KUCHING: Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng menegaskan bahawa warisan budaya masyarakat Sarawak, khususnya melibatkan minuman tradisional seperti tuak dan langkau, perlu dihormati serta difahami oleh semua pihak.
Menurut beliau, kenyataan bercampur-baur daripada Kerajaan Persekutuan berhubung peraturan alkohol baru-baru ini menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
Katanya, keadaan ini bukan sahaja mengelirukan masyarakat, malah berpotensi melemahkan keyakinan terhadap kepimpinan negara sekiranya maklumat tidak disampaikan secara jelas dan konsisten.
“Bagi rakyat Sarawak, isu ini bukan sekadar berkaitan dasar semata-mata. Tuak dan langkau adalah sebahagian daripada identiti budaya dan warisan kami. Tuak bukan sekadar arak beras, tetapi lambang keramahan serta menjadi nadi perayaan Gawai dalam menyambut tetamu dan mengeratkan hubungan komuniti. Begitu juga langkau yang menjadi simbol hormat dan kepercayaan antara generasi di rumah panjang,” katanya.
Beliau berkata, meskipun pengumuman di peringkat Persekutuan tidak menyebut secara khusus mengenai minuman tradisional tersebut, mesej yang kurang jelas menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat Sarawak sama ada warisan unik ini mungkin terkesan dengan peraturan yang tidak mengambil kira adat serta budaya tempatan.
Sehubungan itu, Wee menggesa agar Kerajaan Persekutuan menyalurkan maklumat dengan penuh tanggungjawab dan memastikan perbincangan rapi bersama kerajaan negeri sebelum sesuatu garis panduan diumumkan.
“Sekiranya peraturan hanya tertakluk kepada premis perniagaan berlesen, perkara itu perlu dinyatakan dengan terang. Jika rumah persendirian dan amalan tradisi tidak terjejas, ia juga wajar disahkan tanpa lengah,” jelasnya.
Tambah beliau, tuak dan langkau adalah simbol sejarah, ritual dan kebanggaan rakyat Sarawak, justeru tidak wajar dikaburkan dengan kekeliruan dasar.
“Sarawak akan sentiasa mempertahankan cara hidup kami secara aman dan bermaruah. Melalui dialog yang penuh hormat dan kefahaman, saya yakin tradisi kita akan terus dihormati serta diraikan untuk generasi akan datang. Seperti pepatah, ‘Tanpa tuak, bukan Gawai’. Ada perkara yang terlalu penting untuk diketepikan,” ujarnya.