Bertahun-tahun mengimpikan tapak sekolah baharu yang lebih selamat, masyarakat kawasan Tubau hanya mampu berharap agar pihak berkaitan dapat tampil merealisasikan hasrat tersebut.
Bagi penduduk setempat, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bukit Balai di Tubau boleh dikatakan sudah sebati atau sinonim dengan situasi banjir yang mana ia sering kali berlaku saban tahun.
Menurut Penolong Kanan Pentadbiran Sk Sungai Bukit Balai, Richard Rayim, keadaan banjir yang kerap melanda sekolah tersebut telah banyak merugikan murid-murid serta ibu bapa mereka.
“Kadang-kadang, sekolah ini boleh dilanda banjir sehingga empat atau lima kali dalam masa setahun.
“Bayangkan, beberapa banyak hari yang terpaksa dikorbankan apabila sesi pembelajaran terpaksa dihentikan buat sementara waktu sehingga keadaan banjir reda,” jelasnya.
Kalau melihat kepada bencana banjir yang selalu berlaku ditambah pula dengan keadaan struktur bangunan sekolah, beliau berpendapat bahawa sekolah tersebut wajar dipindahkan atau dibina semula di tapak yang lebih tinggi.
“Sebab itu, kami (masyarakat) di sini amat mengharapkan tapak baharu untuk sekolah ini dan pernah diusulkan serta pihak yang bertanggungjawab pun pernah datang melihat.
“Tapi, kurang pasti apa yang berlaku, sehingga kini masih belum ada apa-apa perkembangan dan tindakan seterusnya,” ujarnya.
Pada 19 Januari lalu, kawasan sekolah tersebut dinaiki air setinggi satu setengah kaki sehingga telah memasuki bilik darjah berikutan kejadian hujan tanpa henti sejak pagi sehari sebelum itu.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Bintulu, Leftenan Rai’idah Jomi berkata, keadaan paras air di lokasi mencatat peningkatan ke tahap berjaga-jaga.
“Semasa pemantauan dan tinjauan dilakukan di kawasan sekolah, keadaan cuaca adalah hujan.
“Jadi, para guru dan murid-murid yang masih berada di sekolah dan asrama dinasihati supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi kemungkinan berlaku peningkatan paras air,” katanya.
Selain itu, beliau turut berpendapat bahawa tindakan pihak pentadbiran sekolah menangguhkan sesi pembelajaran ekoran kejadian banjir tersebut adalah keputusan tepat dan wajar diambil dalam situasi sedemikian.
“Selepas tinjauan, saya rasa situasi banjir ini memang menyebabkan kekangan untuk pelajar dan guru-guru meneruskan operasi sekolah.
“Maka, pihak sekolah mengambil langkah yang betul dan sewajarnya dengan menangguhkan sesi persekolahan buat masa ini,” jelas beliau.
Difahamkan, sekolah yang menampung 300 lebih murid-murid itu terpaksa menangguhkan sesi pembelajaran apabila air mula memasuki bilik darjah di tingkat bawah dan kebanyakan murid-murid harian pula tidak dapat hadir ke sekolah kerana terdapat perhubungan jalan tidak boleh dilalui akibat banjir.
Bagi murid-murid yang tinggal di asrama pula, mereka terpaksa dibenarkan pulang sekiranya ibu bapa yang risau datang untuk membawa mereka pulang ke kampung masing-masing.
Oleh CAROLYNE UTIH