LAWAS: Warga sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lawas harus bangkit daripada musibah kebakaran untuk mencapai kecemerlangan, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan .
Katanya, segala kesukaran yang dialami tidak harus melemahkan semangat warga SMK Lawas, sebaliknya menjadikan masalah itu sebagai batu loncatan mencipta kejayaan dalam bidang pelajaran khususnya kepada pelajar Tingkatan Lima yang bakal menduduki peperiksaan SPM penghujung tahun ini.
“Kita berdepan dengan masalah, kesukaran dan saya mahu pelajar-pelajar kita tidak akan patah semangat dan begitu juga dengan kakitangan di SMK Lawas ini.
“Saya mengharapkan mereka akan terus dengan semangat yang membara untuk kita mencapai kejayaan dalam bidang pelajaran biarlah kejadian ini menjadi pendorong supaya semangat kita itu membara..bukan api (membara) ya..semangat kita itu membara untuk kita terus maju dalam bidang pendidikan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas lawatan kerja ke SMK Lawas semalam untuk melihat kesan kebakaran di dua blok bangunan sekolah berkenaan.
Awang Tengah yang diiringi Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong memberi jaminan akan bersama-sama membangunkan sekolah menengah yang pertama di Lawas itu.
Henry Sum turut menghulurkan bantuan segera berjumlah RM20,000 bagi membantu pihak guru dan pentadbiran sekolah membeli semula peralatan mengajar dan lainnya dengan kadar segera.
Sementara itu Awang Tengah yang juga ADUN Bukit Sari mahu pihak bertanggungjawab untuk segera melakukan kerja pembersihan tapak kawasan kebakaran.
Malahan beliau turut mengarahkan pemeriksaan menyeluruh pendawaian di SMK Lawas untuk diganti baru, pembaikan jalan raya naik ke SMK Lawas dan naik taraf dewan sekolah yang dalam keadaan menyedihkan.
Oleh ADENG EDRUS