
KUCHING: Warga Perkhidmatan Awam Sarawak digesa memperkukuh budaya kerja berprestasi tinggi dan memberi tumpuan kepada pelaksanaan berimpak menjelang separuh kedua tahun 2025.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki menerusi Amanat Bulanan Mei 2025 turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Perkhidmatan Awam Sarawak atas kesungguhan dan komitmen berterusan dalam menjayakan dasar dan aspirasi kerajaan demi kesejahteraan rakyat.
“Kita kini memasuki fasa kedua tahun 2025, fasa yang menuntut pelaksanaan yang tuntas, pemantauan berterusan serta keupayaan menyelesaikan cabaran dengan pantas dan berkesan,” katanya.
Dalam amanat sama, beliau turut mengajak semua ketua jabatan untuk menilai semula pencapaian dan hala tuju pelaksanaan agenda strategik masing-masing.
Beliau turut menekankan keperluan membuat keputusan berdasarkan data dan bukti, penggunaan teknologi secara menyeluruh, serta pendekatan proaktif yang berorientasikan hasil (outcome-based).
“Hanya dengan pendekatan ini, kita dapat membentuk Perkhidmatan Awam Sarawak yang tangkas, responsif dan berdaya tahan, sejajar aspirasi Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menjadikan negeri ini maju, progresif dan inklusif,” jelas beliau lagi.
Sementara itu, sempena sambutan Hari Gawai pada 1 Jun ini, beliau turut mengucapkan Selamat Hari Gawai Gayu Guru Gerai Nyamai kepada seluruh warga kerja dan rakyat Sarawak yang meraikannya.
“Hari Gawai melambangkan kesyukuran, perpaduan dan permulaan baharu. Ia mencerminkan kekayaan budaya masyarakat Dayak serta semangat muafakat yang menjadi teras kekuatan negeri ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mendoakan keselamatan perjalanan kepada mereka yang pulang ke kampung halaman dan berharap sambutan kali ini membawa erti mendalam bersama keluarga tersayang.
–UKAS