Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Warga MUDeNR digesa amalkan budaya kerja berintegriti, telus
  • TEMPATAN

Warga MUDeNR digesa amalkan budaya kerja berintegriti, telus

Utusan Sarawak 5 hours ago
TEKS ucapan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dibacakan oleh Datuk Len Talif Salleh.

KUCHING: Warga Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR) digesa mengamalkan budaya kerja yang berintegriti, telus dan berakauntabiliti sebagai asas kepada kecemerlangan dalam penyampaian perkhidmatan awam.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata integriti penjawat awam amat penting bagi memastikan hala tuju, visi dan misi kementerian serta kerajaan negeri dapat dicapai dengan jayanya.

Beliau berkata demikian menerusi ucapannya sempena Sambutan Hari Integriti Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak di Kuching, hari ini.

Teks ucapan beliau telah dibacakan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh.

Menurut beliau, cabaran utama perkhidmatan awam hari ini ialah menangkis maklumat tidak tepat yang boleh menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

“Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar merupakan nadi utama dalam pengurusan sumber asli, kelestarian alam sekitar, biodiversiti, perancangan dan pembangunan bandar secara menyeluruh. Oleh itu, integriti dan tadbir urus baik harus menjadi tonggak dalam pengurusan khazanah alam Sarawak,” katanya.

Majlis berkenaan dirasmikan Datuk Len Talif Salleh, yang menegaskan integriti hijau mesti diterjemahkan melalui dasar dan tindakan nyata.

Beliau berkata, Program Restorasi Lanskap Hutan Sarawak yang bermula sejak 2019 kini telah memulihkan 137,178.75 hektar kawasan hutan terosot, iaitu 68.6 peratus daripada sasaran 200,000 hektar menjelang 2030.

Tambahnya, Sarawak juga berjaya menanam 50.04 juta pokok setakat 20 Ogos 2025, melepasi sasaran asal 35 juta pokok di bawah Kempen Penghijauan Malaysia.

Dalam aspek pensijilan hutan mampan, beliau menjelaskan lebih 1.49 juta hektar kawasan hutan kini dipersijilkan di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS), yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Langkah ini memperkukuh reputasi Sarawak dalam pengurusan hutan selain meningkatkan daya saing produk kayu kita di pasaran global,” jelasnya.

Beliau menambah, pengiktirafan Taman Negara Niah sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2024 turut membuktikan usaha berterusan kerajaan negeri diiktiraf pada peringkat antarabangsa.

Dua lagi taman negara, Bako dan Bukit Lambir, kini sedang melalui proses penilaian untuk diiktiraf sebagai Tapak Warisan ASEAN (AHP), manakala Sarawak Delta Geopark dinilai bagi pengiktirafan UNESCO Global Geopark 2026.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri telah menyiapkan beberapa pelan pengurusan komprehensif bagi kawasan kawasan perlindungan sepenuhnya (TPA) seperti Bako, Bukit Lambir, Semenggoh dan Gua Pari-Pari, manakala beberapa kawasan lain masih dalam proses dimuktamadkan.

Beliau menegaskan kerajaan juga menyemak semula perundangan berkaitan supaya kekal relevan dan berkesan dalam memastikan kelestarian alam sekitar.

“Segala perundangan yang digubal tidak akan hanya tinggal retorik, sebaliknya dikuatkuasakan sepenuhnya demi menjamin kelestarian untuk generasi masa depan,” katanya lagi.

Program Hari Integriti MUDeNR 2025 itu menghimpunkan lebih 300 pegawai dan warga kementerian yang hadir menyatakan sokongan terhadap pembudayaan nilai integriti dalam pentadbiran.

“Dengan integriti hijau, kita bukan sahaja menjaga khazanah alam untuk generasi masa depan, malah memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap kerajaan negeri,” tegasnya.

Oleh Shikin Mahmud

Continue Reading

Previous: DASwk anjur dua acara amal sempena Bulan Disleksia
Next: Taman Negara Bako, Bukit Lambir dicalon Tapak Warisan ASEAN

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.