BINTULU: Warga Lembaga Pelabuhan Bintulu (LPB) akan menerima insentif khas bersamaan dua bulan gaji secara proportionate (kadar berkadar) dan one-off (sekali bayar) susulan pengambilalihan pengurusan pelabuhan itu oleh kerajaan Sarawak.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pemberian itu merupakan tanda penghargaan terhadap profesionalisme dan komitmen warga LPB yang terus melaksanakan tanggungjawab sepanjang proses peralihan.
Menurutnya, Kementerian Pengangkutan turut memberi perhatian dan keutamaan terhadap kebajikan warga LPB dalam proses pengambilalihan berkenaan.
“Insentif khas bersamaan dua bulan gaji secara proportionate dan one-off susulan pengambilalihan oleh kerajaan Sarawak kepada staf dan kontrak yang layak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perpisahan Lembaga Pelabuhan Bintulu daripada Kerajaan Persekutuan di sebuah hotel di sini, semalam
Loke berkata, pemberian insentif itu merupakan penghargaan terhadap semangat dan peranan warga LPB yang terus melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi ketika organisasi berdepan perubahan.
Menurutnya, proses pengambilalihan tidak seharusnya menjejaskan peluang pekerjaan warga LPB, selain kebajikan mereka dan keluarga turut diberi perhatian.
Beliau berkata, penyelesaian proses pengambilalihan Pelabuhan Bintulu selepas tiga tahun turut membuktikan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak mampu menyelesaikan perkara besar dan fundamental melalui rundingan.
“Walaupun mengambil masa tiga tahun, perkara yang begitu besar dan fundamental ini dapat diselesaikan dengan baik.
“Ini membuktikan bahawa apabila Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak dapat duduk berunding, tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan,” katanya.
Loke berkata, pengembalian Lembaga Pelabuhan Bintulu kepada bidang kuasa kerajaan Sarawak turut memenuhi hasrat negeri itu untuk membangunkan sektor pelabuhan secara lebih bersepadu.




