Pada zaman sebelum teknologi perubatan berkembang di negara ini, warga klef atau sumbing adalah antara yang terjejas kehidupan mereka, baik semasa kecil mahupun hingga dewasa.
Bercakap dengan nada sengau serta nampak ‘sedikit kelainan’ pada bahagian mulut, menjadikan mereka bahan ketawa dan ejekan segelintir orang yang tidak prihatin akan nasib mereka.
Namun kini kepesatan teknologi perubatan mengubah igauan ngeri warga klef. Dalam erti kata lain, walaupun lahir dengan sedikit kelainan fizikal tetapi penampilan dan suara mereka boleh dibetulkan menjadi normal sehingga bidang perubatan tidak mengkategorikan mereka sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU).
Klef sebenarnya merujuk kepada pembentukan struktur bibir atau lelangit yang tidak normal, atau kedua-duanya sekali sehingga mereka yang bermasalah ini tidak dapat bercakap seperti orang normal yang lain.
Malah klef direkodkan sebagai masalah kongenital yang dihidapi oleh setiap 500 hingga 700 kelahiran di negara Asia dan tidak diketahui penyebabnya.
Menurut Ketua Jabatan Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif Hospital Umum Sarawak (HUS), Dr. John Ranjit Nesaraj, klef bibir melibatkan masalah pada strukrur bibir sahaja tetapi klef lelangit adalah masalah berkaitan dengan otot yang tidak terbentuk dengan betul di bahagian belakang mulut atau langsung tidak mempunyai lelangit.
“Kalau kita tak dapat tutup kerongkong semasa bercakap, angin yang sepatutnya keluar melalui mulut akan keluar melalui hidung. Bila ini berlaku, keluarlah suara yang sengau,” katanya.
Sehingga kini dunia perubatan tidak dapat mengenalpasti punca klef tetapi teknologi perubatan mampu mengubah keadaan warga klef di seluruh dunia.
Kata beliau, di negara ini apabila ada kelahiran klef, pihak hospital akan mengenalpasti sama ada ia klef bibir atau klef lelangit, atau kedua-duanya sekali.
“Bayi berkenaan akan dirujuk kepada Pakar Kanak-Kanak, Pakar Pembedahan Plastik serta Pakar Pergigian Kanak-Kanak bagi mengesan masalah lain seperti gegendang telinga dan sebagainya.
“Bila bayi sudah berusia tiga bulan dan sudah mencapai berat yang sepatutnya, dia akan menjalani pembedahan membetulkan bibir. Pembedahan lelangit pula akan hanya dilakukan apabila bayi berkenaan sudah berusia sembilan bulan hingga setahun,” kata beliau.
Selepas menjalani dua pembedahan ini, doktor akan memantau keadaan bagi memastikan telinga dan hidung dalam keadaan baik, pertumbuhan gigi sempurna dan parut tidak menonjol,” kata beliau.
Hanya selepas kanak-kanak itu mencapai usia sembilan tahun, baharulah satu lagi pembedahan dilakukan bagi memasukkan tulang di rahang agar gigi boleh tumbuh dengan betul, rahang menjadi lengkap dan hidung mendapat sokongan.
“Masalah orang klef ialah bahagian hidung mereka tidak mempunyai tulang, sebab itu bentuk hidung terturun. Bila kita masukkan tulang, bentuk hidung akan naik kembali atau jadi mancung,” katanya.
Fasa terakhir perubahan ialah pada usia 15 hingga 16 tahun iaitu pada tahap muka sudah matang dan berhenti membesar.
“Kita akan tengok apa yang tinggal untuk dibetulkan. Kadang-kadang parut nampak besar, hidung masih jatuh, bibir ternaik sedikit, jadi kita buat ‘final touch up’,” kata Dr. John.
Dr. John menambah kata, kebanyakan masalah klef dapat dibetulkan jika dirawat dengan awal, malah boleh ‘berubah’ menjadi normal dengan bantuan teknologi moden.
JADI MANGSA BULI
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Klef Bibir & Lelangit Malaysia (CLAPAM), Zainal Azhar Ahmad berkata, sebelum ini ibu bapa yang mempunyai anak klef akan ‘membetulkan’ bibir anak mereka sahaja tetapi tidak lelangit.
“Ini masih mewujudkan masalah pertuturan sengau dan tak jelas,” kata beliau.
Menurut beliau, CLAPAM memandang berat masalah klef kerana sedar ia boleh mencetuskan masalah sosial seperti kes buli hingga ponteng sekolah di kalangan kanak-kanak klef yang akhirnya menimbulkan masalah lain seperti tidak mahu ke sekolah, gagal mendapatkan pekerjaan yang diidamkan dan sebagainya.
Justeru CLAPAM membantu pesakit klef dari mula iaitu dari mereka masih bayi lagi dengan menyediakan peralatan menyusu khas secara percuma untuk memudahkan ibu bapa yang mempunyai bayi klef.
“Kami letakkan botol susu dan puting khas ini di mana-mana hospital dan kami juga membantu membiayai pembedahan bayi klef bagi keluarga dengan pendapatan RM3,000 ke bawah,” kata beliau sambil menambah, CLAPAM menangani antara 60 hingga 90 kes pembedahan klef setiap tahun di negara ini.
Untungnya kata beliau, kerajaan memberi subsidi besar untuk pembedahan klef dengan 90 peratus kos ditanggung oleh Kerajaan.
“Disebabkan itu, kos pembedahan klef di hospital kerajaan hanya di antara RM50 hingga RM1,000 berbanding kos di hospital swasta yang mencecah RM10,000 bagi satu-satu pembedahan,” kata beliau.
SINAR BAHARU
Kebimbangan yang bersarang di hati Cathrynica Limgai selepas anaknya Eveajovelyn Atryqasha dilahirkan dengan masalah klef, terlerai selepas anaknya itu selesai menjalani pembedahan bibir pada usianya tiga bulan.
“Bersyukur sangat-sangat kerana anak saya selamat menjalani pembedahan pertama pada Disember 2019. Saya lega semuanya berjalan lancar dan sekarang menunggu pembedahan kedua untuk membaiki lelangitnya,” kata ibu muda ini.
Mengimbas kenangannya semasa kali pertama melihat Eveajovelyn selepas melahirkan, Cathrynica berkata dia tidak terkilan melihat kelainan pada anaknya itu kerana selama ini memang mengharapkan kehadiran cahaya mata dalam hidupnya.
“Saya redha, saya tak rasa apa-apa. Malah saya bersyukur dengan kelahirannya kerana selama ini saya nak sangat cahaya mata. Lagipun saya fikir, pada zaman ini macam-macam boleh jadi,” tambahnya.
Memang benar kerana kini wajah Eveajovelyn yang sudah menginjak usia 10 bulan kelihatan cukup comel dan sentiasa ceria.
Perasaan yang sama dirasakan oleh Siti Huzaimah Ibrahim apabila anaknya Irfan Harith Ziqri selamat menjalani pembedahan membetulkan lelangit ketika anaknya itu berusia tujuh tahun.
“Saya amat bersyukur kerana Irfan dapat menjalani kehidupan seperti orang lain sekarang ini. Sebelum ini bimbang juga bagaimana dia akan bersekolah dengan keadaannya begitu,” tambah Siti Huzaimah.
Oleh Haini Darani