
BINTANGOR: Seorang wanita warga emas berusia lebih 60 tahun berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung dan ahli keluarganya ketika berlaku kebakaran di sebuah bilik di rumahnya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar 3.30 petang, semalam.
“Sepasukan bomba bergegas ke lokasi kebakaran di Lorong 1, Kampung Muhibbah selepas menerima panggilan kecemasan.
“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran bilik telah berjaya dipadamkan oleh penduduk kampung menggunakan air sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, anggaran peratus kebakaran di bilik tersebut adalah lima peratus.
“Tiada operasi pemadaman dan penyelamatan dijalankan, pasukan bomba hanya membuat pemeriksaan di lokasi bagi memastikan tiada lagi wujudnya punca kebakaran.
“Seorang wanita warga emas juga telah berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung dan ahli keluarganya semasa kebakaran berlaku,” katanya.
Oleh Earl Anek