TANJUNG MANIS: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) warga emas yang terjatuh ke laut di perairan Rejang kini memfokuskan pencarian di kawasan seluas 18.84 batu nautika persegi.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Gilbert Tinggak Numpang berkata, kawasan pencarian dibahagikan kepada empat sektor utama, iaitu B1, B2, B3, dan B4, bagi memastikan pencarian dilakukan secara menyeluruh dan sistematik.
Katanya, keadaan cuaca di kawasan pencarian dilaporkan berombak setinggi 1.5 hingga 2.5 meter, dengan angin bertiup dari arah barat pada kelajuan 30 hingga 40 kilometer per jam (km/j).
“Mangsa, Mustapa Abdullah @ Moses Mleng berumur 64 tahun, terjatuh ke laut pada 1 Januari (semalam), telah lama berkhidmat dengan syarikat kapal dan biasa berada di laut.
“Ketika kejadian, kapal tongkang Linau 27 yang ditunda oleh Danum 126 sedang bergerak dari Kuching menuju ke Sibu.
“Cuaca buruk dan ombak setinggi 3.5 meter telah menggoncang tongkang tersebut, menyebabkan mangsa terjatuh ke laut sekitar 10.30 pagi,” katanya pada sidang media di Jeti Terminal Awam Tanjung di sini, hari ini.
Gilbert berkata operasi pencarian ini melibatkan kekuatan seramai 55 anggota dan aset dari beberapa agensi seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan agar komuniti di laut mematuhi aspek keselamatan sebelum pergi ke laut.
“Pada Monsun Timur Laut (MTL) ini, pengguna laut perlu merancang perjalanan mereka dengan teliti. Jika cuaca tidak mengizinkan, lebih baik batalkan atau ubah tarikh perjalanan.
“Pematuhan keselamatan kini semakin meningkat, terutamanya dalam kalangan nelayan, yang turut diingatkan oleh APMM semasa operasi,” katanya.
Semalam, Pusat Kawalan Operasi Maritim (MRSC) Kuching telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) pada pukul 1.45 petang dengan mengatur gerak Bot Pengawal 22 ke lokasi kejadian berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada pengadu.
Lokasi terakhir mangsa jatuh laut adalah di kedudukan tujuh batu nautika barat Kuala Rejang.
Susulan kejadian itu, Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) telah ditubuhkan di Jeti Terminal Penumpang Tanjung Manis.