
SIBU: Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee bersama orang awam menemani seorang lelaki warga emas yang terjatuh di atas jalan raya berhampiran Pusat Perubatan Pakar KPJ Sibu (SSMC), tengah hari tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sibu, Mej (PA) Mohd Reduan Aini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 11.57 pagi sebelum mengerahkan sebuah ambulans ke lokasi bersama seorang pegawai dan empat anggota.
“Setibanya di lokasi, penilaian awal mendapati mangsa lelaki warga emas terbaring di atas jalan raya dan ditemani oleh Datuk Michael Tiang serta orang awam,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, mangsa mengalami luka di bahagian kepala akibat terjatuh.
“Luka mangsa telah dibalut oleh pemandu Datuk Michael Tiang sebelum diusung masuk ke dalam ambulans untuk dihantar ke Hospital Sibu.
“Mangsa yang ditemani oleh anak lelakinya berada dalam keadaan sedar dan boleh berkomunikasi,” ujarnya.
Oleh Akun Giman