KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersedia membantu seorang warga emas berasal dari Sarawak yang tular dipercayai hidup terabai di Johor, termasuk membawa pulang individu berkenaan ke negeri ini sekiranya beliau bersetuju.
Menterinya, Dato Sri Nancy Shukri berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor telah bertindak segera sebaik isu itu tular dengan menemuinya pada malam sama.
Menurut beliau, JKM turut memberi komitmen untuk menyalurkan bantuan kebajikan bermula Ogos 2026 sehingga Julai 2027, selain menjalankan pemantauan serta lawatan susulan bagi memastikan kebajikannya terus terpelihara.
“Jika beliau mahu pulang ke Sarawak dan tinggal di Rumah Seri Kenangan, kita tiada masalah. Kalau beliau tiada tempat tinggal, kita akan cari jalan untuk membantunya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kasih Ibu Tunggal (KasihnITa) 2026 Peringkat Negeri Sarawak di Kuching hari ini.
Nancy berkata, hasil semakan mendapati warga emas berkenaan merupakan anak jati Sarawak dan masih berdaftar sebagai pengundi di Saratok.
Beliau turut menggesa masyarakat Sarawak, khususnya yang menetap di Johor, supaya lebih peka terhadap kebajikan rakyat negeri itu yang berada di luar Sarawak.
Katanya, KPWKM akan bekerjasama dengan Rumah Sarawak serta JKM bagi menyalurkan bantuan sewajarnya, termasuk menguruskan kepulangan warga emas tersebut ke Sarawak sekiranya itu menjadi pilihannya.
Pada masa sama, beliau berharap ahli keluarga atau kenalan individu berkenaan tampil menghubungi pihak berkuasa bagi memudahkan proses bantuan dan penyelesaian jangka panjang.
Oleh Afiq Sallehi


