
SEPUPOK: Program Outreach Santuni Komuniti (POSKOM) Bahagian Miri mendapat sambutan oleh warga emas kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu untuk dapatkan Kenyalang Gold Card (KGC) hari ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak, Datuk Rosey Yunus berkata, hasil dari pemerhatian sepanjang program ini berlangsung, kehadiran pengunjung sangat hebat dan amat memberangsangkan.
“Terima kasih kepada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dan pihak media yang memainkan peranan penting dalam membantu menghebahkan program ini.
“Program ini bermula hari ini sehingga esok, orang ramai sangat dialu-alukan datang untuk mengetahui pelbagai maklumat penting terutamanya tentang bantuan-bantuan yang tersedia oleh kerajaan Sarawak,” katanya.
Beliau yang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu berkata demikian ketika ditemui dalam POSKOM yang berlangsung di Dewan Masyarakat Sepupok, hari ini.
“Tahniah dan syabas kepada kakitangan Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Miri dan agensi yang turut sama terlibat di atas kejayaan menjayakan sebuah program yang membawa impak positif kepada komuniti setempat daerah Subis dan khususnya di Niah.
“Sehubungan ini, kehadiran semua ini menunjukkan bahawa penduduk Niah mahupun penduduk sekitar tetap memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi dan tidak pernah luntur sama sekali seperti program-program lain,” tambahnya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata bahawa warga emas di Sarawak boleh memohon kemudahan KGC, di mana ia merupakan satu kad yang memberi tawaran potongan harga, pengecualian pembiayaan untuk barang dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh sektor awam, sektor swasta dan gerai komersial yang merupakan rakan stratergik KGC.
Program ini terus mendapat sambutan hangat sejak pelancarannya, dengan penambahan manfaat dan penglibatan lebih banyak rakan strategik pada tahun 2024 dan seterusnya.
Terdapat pelbagai diskaun dan tawaran istimewa, segala jenis kemudahan istimewa disediakan untuk yang layak di seluruh daerah-daerah di Sarawak, katanya lagi.
Oleh Adum Liu