
KUCHING: Seorang lelaki tempatan berusia 71 tahun kerugian RM800,000 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan atas talian melibatkan perniagaan kosmetik yang sebenarnya tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata mangsa mula melabur pada 2021 selepas menerima panggilan daripada seorang wanita tidak dikenali menggunakan nombor 0124713115 yang menawarkan pulangan tinggi.
“Mempercayai tawaran itu, mangsa membuat lapan transaksi melalui pindahan dalam talian dan cek ke satu akaun syarikat. Mangsa kemudian mula curiga apabila keuntungan dijanjikan tidak diterima,” kata Alexson. Mangsa akhirnya sedar ditipu dan mengalami kerugian RM800,000.
Bermula 1 Januari hingga hari ini, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Kuching merekodkan 104 kes seumpama itu dengan jumlah kerugian RM24,271,756.38.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Alexson menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap tawaran pelaburan di media sosial dan membuat semakan terlebih dahulu melalui saluran rasmi seperti Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti atau portal Semak Mule.
Beliau turut mengingatkan mangsa yang baru membuat transaksi agar segera menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997.