
BAU: Seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun dari Kampung Tembawang Sauh di sini mengalami kerugian sebanyak RM1,500 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud secara dalam talian.
Ketua Polis Daerah Bau, Mohd Haide A. Rahman berkata, laporan dibuat susulan maklumat yang diterima melalui talian Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).
Beliau berkata, pengadu yang merupakan pegawai dari pusat panggilan NSRC Bukit Aman menerima panggilan kira-kira 7.10 malam daripada mangsa yang memaklumkan dirinya telah ditipu dalam urusan pelaburan atas talian.
“Mangsa memaklumkan transaksi tersebut dilakukan semasa berada di Kampung Tembawang Sauh melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM1,500 daripada akaun bank miliknya,” katanya.
Hasil siasatan awal mendapati mangsa telah membuat pindahan wang ke akaun Affin Bank atas nama Mohammad Saad Mokthy yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penipuan tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. Semakan melalui sistem risikan jenayah komersial mendapati tiada rekod terdahulu berkaitan akaun bank berkenaan.
Mohd Haide berkata, mangsa mengetahui mengenai kewujudan Pusat Respons Scam Kebangsaan dan telah menghubungi talian 997 bagi membuat laporan.
Beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap tawaran pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan cepat, serta membuat semakan terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.
Oleh Connie Chieng