
ALOR GAJAH, 3 Jan -- SETIA MENUNGGU Penduduk kampung Othman Baba, 83, merenung nasib setelah tiga kali rumahnya dinaiki air dalam tempoh dua bulan berturut-turut ketika tinjauan banjir di Kampung Belimbing Dalam dekat Durian Tunggal, hari ini. Di Melaka, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 2,555 mangsa daripada 659 keluarga pada tengah hari ini berbanding 2,537 mangsa daripada 656 keluarga pada pukul 8 pagi tadi. Kawasan terjejas adalah dari 14 kawasan di Alor Gajah, sembilan kawasan di Melaka Tengah dan sembilan kawasan di Jasin. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

ALOR GAJAH: Seorang warga emas memutuskan untuk tidur di dalam lori bagi menjaga keselamatan harta bendanya daripada dicuri pihak tidak bertanggungjawab, selepas rumahnya di Kampung Belimbing Dalam di sini, ditenggelami banjir separas dada sejak Sabtu lepas.
Othman Baba, 83, berkata dia sememangnya tidak pernah berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) setiap kali kampung tersebut dilanda banjir, kerana risau rumahnya dipecah masuk pencuri.
Berikutan itu, dia yang telah 17 tahun menetap di situ, memilih untuk tinggal di dalam lori milik anak lelakinya itu, yang diletakkan di jalan raya yang tidak dinaiki air berdekatan rumahnya.
“Dua anak lelaki saya menjalankan perniagaan sewa khemah. Oleh kerana mereka tiada tempat nak letak barang, mereka simpan dalam stor di rumah saya.
“Sejak banjir pada Sabtu lepas, dah dua malam saya bersama seorang lagi anak lelaki dan anak perempuan tidur dalam lori ini sebab takut barang-barang tersebut dicuri,” katanya, ketika ditemui Bernama di sini, semalam.
Othman berkata, ada penduduk kampung yang memintanya supaya berpindah ke PPS, tetapi beliau memutuskan untuk terus berada di situ, sementara menunggu air surut.
Menurutnya sejak Julai tahun lalu, sudah empat kali rumahnya dinaiki air memandangkan ia berada di kawasan rendah dan berdekatan sungai.
— Bernama