
MUKAH: Seorang lelaki warga emas maut manakala seorang lagi terselamat selepas dua lori bertembung dalam satu kemalangan jalan raya di Pangkalan Lobang, Jalan Temesu di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah, Nicholas Belulin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada 12.23 tengah hari daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah.
“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati kemalangan melibatkan dua lori termasuk lori yang membawa muatan arang batu.
“Seorang mangsa lelaki didapati tersepit di dalam kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, operasi menyelamat dilakukan menggunakan peralatan khas dan mangsa berjaya dikeluarkan pada 1.42 petang sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Sulai Jamil, 69 dan mayatnya telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Oleh Tarani Lanting