
SARIKEI: Seorang lelaki warga emas, 77, meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dengan kemalangan jalan raya di Lebuh Raya Pan Borneo KM431 Betong-Sarikei-Meradong, hari ini.
Ketua Polis Daerah (KPD) Sarikei, Superintenden Aswandy Anis berkata pihaknya dimaklumkan oleh pengadu berkenaan kemalangan maut tersebut lebih kurang 2.00 petang.
“Kemalangan tersebut melibatkan motosikal dan kereta. Penunggang motosikal dari Sarikei menuju ke Sungai Rusa manakala kereta yang dipandu oleh seorang wanita berumur 30 tahun datang dari Kuching menuju ke Sibu.
“Penunggang motosikal secara mengejut mengubah haluan dari lorong sebelah kiri jalan ke lorong sebelah kanan jalan tanpa memberi sebarang isyarat lampu.
“Pemandu kereta yang bergerak lurus di laluan kanan telah melanggar penunggang motosikal dari arah belakang,” katanya dalam satu kenyataan media, sebentar tadi.

Katanya, kerosakan kereta pada keseluruhan bahagian hadapan dan motosikal pada bahagian belakang dan tepi kanan.
“Pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak perubatan Hospital Sarikei pada 2.20 petang.
“Kes masih dalam siasatan. Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Jika ada saksi melihat kejadian, sila hubungi polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sarikei atau pegawai penyiasat trafik, Inspektor Ahmad Mustaqim di talian 084-652222 sambungan 279,” katanya.
Beliau turut menasihati pengguna jalan raya yang lain supaya berhati-hati ketika memandu.
Oleh Earl Anek