
SARATOK: Seorang wanita warga emas berusia 85 tahun maut selepas dilanggar sebuah van dalam satu kemalangan jalan raya yang berlaku di Kilometer 402.4 Lebuh Raya Pan Borneo Saratok-Sarikei pada hari ini.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie mengesahkan kejadian tersebut berlaku sekitar 9.45 pagi ketika sebuah van jenis Toyota Hiace yang dipandu oleh seorang lelaki warga emas berusia 77 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Saratok menuju ke Sarikei.
Siasatan awal mendapati van yang membawa muatan sayur-sayuran itu sedang bergerak di lorong kiri jalan sebelum mangsa dipercayai cuba melintas secara tiba-tiba dari arah pembahagi jalan (divider) menuju ke bahu jalan sebelah kiri.
Pemandu van berkenaan dilaporkan cuba mengelak, namun disebabkan jarak yang terlalu dekat, mangsa gagal diselamatkan lalu dirempuh.
Akibat impak pelanggaran tersebut, mangsa yang merupakan wanita tempatan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
Kesannya turut mengakibatkan kerosakan pada kenderaan terlibat termasuk cermin hadapan yang pecah serta kerosakan pada bahagian bumper hadapan sebelah kanan.
Pemandu van bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal dalam insiden tersebut.
Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Saratok untuk urusan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
Oleh Adi Safarman