
SARIKEI: Seorang wanita warga emas berusia 78 tahun maut dalam satu kejadian langgar lari melibatkan motosikal yang ditungganginya di Jalan Repok, di sini.
Ketua Polis Daerah (KPD) Sarikei, Superitenden Aswandy Anis, berkata kemalangan berlaku sekitar 5.15 pagi tadi melibatkan sebuah motosikal dan disyaki sebuah kereta.
“Kemalangan disyaki berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dari rumah menuju ke pasar Sarikei untuk berniaga, manakala pemandu kereta disyaki dari pasar Sarikei menuju ke Jalan Repok.
“Sampai di tempat kejadian di jalan lurus, tiba-tiba pemandu kereta masuk ke laluan bertentangan dan melanggar penunggang motosikal dari arah hadapan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Katanya, kerosakan motosikal pada keseluruhan bahagian hadapan.
“Hasil makluman dari saksi yang berada di tempat kejadian kepada pihak polis, pemandu kereta melarikan diri.
“Penunggang motosikal meninggal dunia tempat kejadian, disahkan oleh pihak perubatan Hospital Sarikei pada 5.50 pagi,” katanya.
Tambahnya, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca dari kecuaian pemandu kereta yang melanggar penunggang motosikal dari arah hadapan.
“Namun siasatan lanjut masih dijalankan dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Pihak polis memohon agar masyarakat awam yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan ini menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Ahmad Mustaqim di talian 010-4427240 atau mana-mana balai polis berdekatan bahi membantu siasatan kes kemalangan ini.
“Pengguna jalan raya juga dinasihatkan sulaya berhati-hari semasa memandu di jalan raya bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya terjaga,” katanya.